Sabtu, 5 Februari 2011

RM6 bilion untuk kapal peronda baru TLDM

BERNAMA

Kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM6 bilion bagi membina enam buah Kapal Peronda Generasi Kedua (SGPV) yang akan digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pembinaan kapal peronda berkenaan akan memberi anjakan ekonomi berikutan ia dapat memberi faedah kepada 632 syarikat vendor yang merupakan rakan strategik Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd dalam menjayakan projek tersebut.

"Justeru itu kita akan pastikan sekurang-kurangnya RM2 bilion daripada peruntukan tersebut dapat dinikmati manfaatnya oleh 632 buah syarikat tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat industri bagi projek berkenaan di Lumut hari ini.

Katanya beliau sendiri akan memantau projek berkenaan dan memastikan semua pihak mendapat manfaat serta tidak timbul masalah kelewatan pembayaran kepada pihak vendor.

Beliau berkata BNS Sdn Bhd telah membuktikan bahawa syarikat itu kini setanding dengan syarikat lain di dunia apabila sebelum ini menempa kejayaan membekalkan beberapa buah kapal peronda generasi baru untuk kegunaan armada TLDM.

Pada 28 Dis lepas, Panglima TLDM Tan Sri Abdul Aziz Jaafar memaklumkan bahawa kerajaan telah mengeluarkan Surat Hasrat kepada BNS Sdn Bhd untuk membina enam kapal peronda di bawah program SGPV yang akan bermula pada tahun 2012.

Beliau berkata penambahan enam buah kapal peronda itu akan mengurangkan kekangan aset yang dihadapi TLDM selepas menyerahkan 17 kapalnya kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dari tahun 2005 hingga 2006.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata kerajaan mensasarkan kawasan persisiran pantai Lumut-Bagan Datoh di sini akan menjadi limbungan pembinaan kapal bertaraf dunia dalam masa 10 hingga 20 tahun akan datang.

Katanya industri pertahanan termasuk industri perkapalan amat berpotensi di rantau Asean dan menjana pendapatan sebanyak US$25 bilion setahun.

"Jika kita berjaya menarik sekurang-kurangnya 20 peratus daripada perbelanjaan pertahanan ke dalam negara, sebanyak US$5 bilion atau RM15 bilion dapat dijana dan dinikmati oleh syarikat di negara ini," katanya.

Katanya kerajaan sedang giat melaksanakan usaha bagi menarik sebanyak mungkin projek berasaskan industri pertahanan termasuk pembinaan kapal ke Malaysia.


Tiada ulasan: