Jumaat, 25 Februari 2011

Polis tak lulus permit perarakan HRP Ahad ini

BERNAMA

Polis hari ini memaklumkan bahawa perhimpunan serta perarakan beramai-ramai yang dirancang oleh Parti Hak Asasi Manusia (HRP) dari KLCC ke Balai Polis Dang Wangi Ahad ini tidak mempunyai permit.

Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan berkata permohonan permit yang dibuat parti itu kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi tidak diluluskan atas dasar keselamatan.

"Selain itu ianya boleh menggugat ketenteraman awam serta menghalang dan menyebabkan kesesakan lalu lintas," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata polis Kuala Lumpur pada petang ini telah menghubungi setiausaha agung HRP untuk memaklumkan bahawa permohonan mereka untuk mengadakan perhimpunan tidak diluluskan dan pihak polis akan mempertimbangkan semula sekiranya HRP mengadakan perhimpunan di tempat yang lebih sesuai dan tidak menimbulkan keadaan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Orang ramai diminta tidak terbabit dengan perhimpunan haram tersebut kerana polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mereka yang menyertainya.


Tiada ulasan: