Jumaat, 4 Februari 2011

Polis rompak wanita hamil: Zuraida gesa siasatan menyeluruh

Norutul Ilham

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin menggesa satu siasatan menyeluruh dilakukan terhadap sekumpulan anggota polis yang didakwa merompak dan menampar seorang wanita hamil, baru-baru ini.

Menurut Zuraida, satu suruhanjaya bebas perlu dibentuk bagi menyiasat dakwaan itu, memandangkan salahlaku seperti itu bukan pertama kali dilakukan anggota polis terhadap orang awam, tambahan pula ia melibatkan wanita yang sedang mengandung.

“Kalau betul wanita tersebut bersalah seperti yang didakwa polis, mereka tidak berhak memperlakukan mangsa seperti itu.

“Sekiranya polis mahu membuat serbuan, mereka perlu menunjukkan waran dan mengikut kaedah yang betul. Oleh sebab itu siasatan perlu dilakukan dan sekiranya tidak berjaya diselesaikan, satu suruhanjaya perlu dibentuk,” kata Zuraida kepada Keadilandaily.com

Menyifatkan tindakan anggota polis itu sebagai tidak bertamadun, Zuraida menyelar perbuatan itu yang dilihat penganiayaan kepada kaum wanita.

“Kuasa seolah-olah ditangan mereka tanpa rasa bersalah walhal negara kita mempunyai undang-undang,” tambah beliau yang mengaitkan perbuatan anggota polis itu dengan banyak salah laku termasuk menembak mati orang awam seperti beberapa kes yang dilaporkan sebelum ini.

Semalam media melaporkan, seorang wanita hamil lapan bulan mendakwa ditampar dan dirompak Isnin lalu oleh anggota polis berpakaian preman yang didakwa memecah masuk ke kedainya di Sungai Buloh dan mereka kemudian menangkapnya.

Chow Soo Meng, 36 mendakwa anggota polis berkenaan mencuri kira-kira RM20,000 wang tunai dan beberapa barangan lain dari wanita tersebut.

“Polis mengambil beberapa jenis rokok, enam botol minuman keras, oren mandarin dan tiga kartun minuman tin,” kata Chow dalam laporan polisnya.

Dalam laporan yang dibuat di balai polis Kepong, Chow berkata, anggota polis dari Jabatan Narkotik Petaling Jaya, turut mengambil 30 kad sim telefon bimbit dan memindahkan kamera TV litar tertutup dari kedainya.

Tiada ulasan: