Ahad, 20 Februari 2011

PM digesa campur tangan henti konspirasi kementerian, Maybank ‘bunuh’ NUBE

TERKINI


Solomon berkata NUBE telah memperolehi injunksi mahkamah bagi menghalang kesatuan tersebut. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Najib Razak digesa campur tangan menghentikan tindakan Kementerian Sumber Manusia yang didakwa berkonspirasi mahu “membunuh” kesatuan kebangsaan dengan meluluskan kesatuan dalaman di Maybank, rangkaian bank terbesar negara ini.

Sehubungan itu perdana menteri juga diminta adakan jawatankuasa bebas bagi menyiasat tindakan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja — agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia — yang telah memberi kelulusan pendaftaran kesatuan dalaman sedangkan pekerja perkeranian Maybank sudah pun diwakili Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perbankan (NUBE).

Najib juga merupakan Menteri Kewangan.

Gesaan ini dilontarkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan-kesatuan Sekerja Dalam Syarikat GLC hari ini.

Malah NUBE juga tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan mogok jika pengurusan Maybank, salah satu GLC, dan Kementerian Sumber Manusia terus bertindak mahu memusnahkan kewujudan kesatuan kebangsaan itu.

Pendirian itu diumumkan selepas satu pertemuan khas di Rumah NUBE di sini hari ini berhubung isu penubuhan kesatuan dalaman bagi mewakili pekerja-pekerja kategori perkeranian Maybank.

Kesatuan dalaman itu yang dikenali sebagai Maynew dilaporkan telah memperoleh kelulusan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja awal bulan lalu.

NUBE juga telah pun memohon jabatan dan kementerian itu membatalkan kelulusan yang telah diberikan tetapi belum ada respons, kata Setiausaha Agung NUBE J. Solomon kepada pemberita.

“Kami juga sudah memperoleh injunksi mahkamah menghalang pengurusan kesatuan dalaman daripada menjalankan aktiviti mereka sehingga kes kami selesai,” kata beliau lagi.

Pengurusan kes permohonan NUBE itu akan didengar 3 Mac ini, kata beliau.

Permohonan itu memohon membatalkan kelulusan yang diberikan oleh Kementerian Sumber Manusia bagi membolehkan kesatuan dalaman itu ditubuhkan.

Presiden Kongres Kesatuan-kesatuan Sekerja Dalam Syarikat GLC, Mohamed Shafie BP Mammal berkata, pihaknya mahu perdana menteri campur tangan menyelesaikan isu terbaru ini memandangkan ia melibatkan Maybank selaku salah satu GLC utama.

Sambil menyifatkan perkara seumpama itu tidak pernah wujud sebelum ini, Mohamed Shafie menambah, “apa yang berlaku sekarang ini sesuatu yang luar biasa, belum pernah berlaku... belum pernah wujud, tapi sudah wujud sekarang.”

Mohamed Shafie yang juga Presiden UNI Global Union berkata, pihaknya akan membawa aduan mengenai isu semasa ini ke perhatian Pertubuhan Buruh Sedunia (ILO).

“Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA), Maybank dan Kementerian Sumber Manusia perlu bertanggungjawab dengan apa yang berlaku sekarang, kalau tidak tindakan mereka akan menyebabkan masalah harmoni di tempat kerja.

“Kalau tindakan (memberi kelulusan) Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja satu kesilapan yang jujur, maka kesilapan ini perlu dibaiki dengan jujur,” kata bekas pemimpin MTUC ini dan bekas presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Telekom.

Sekitar 200 orang, wakil kesatuan NUBE dari Maybank, menyertai pertemuan pagi ini.

Presiden baru MTUC, Khalid Atan yang turut berucap pada pertemuan hari ini berkata, pihaknya mahu Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam dan Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja segera menarik balik kelulusan yang diberikan kepada kesatuan dalaman Maybank dengan segera.

“MTUC mahu melahirkan bantahan berhubung keputusan Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja dalam hal ini. Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja telah melanggar peruntukan Akta Kesatuan Sekerja,” kata Khalid pada sidang media bersama tengah hari tadi.

“Kita tidak boleh membenarkan keadaan seperti ini berlaku,” kata beliau sambil menegaskan, Kementerian Sumber Manusia seolah-olah sudah terlibat dalam kerja-kerja untuk menghancurkan kesatuan peringkat kebangsaan.

“Dulu kita melihat majikan sahaja yang mahu menghancurkan kesatuan, kini seolah-olah kementerian juga terlibat sama,” katanya.

MTUC akan membincangkan perkara tersebut pada mesyuarat jawatankuasa kerja dan majlis amnya, yang masing-masing akan diadakan pada 23 dan 27 Februari ini.

Solomon juga berkata pihaknya mempunyai bukti-bukti yang menunjukkan pengurusan Maybank menaja penubuhan kesatuan dalaman di bank tersebut bagi mewakili kumpulan pekerja dari kategori yang sama.

Ini termasuklah pengakuan pegawai-pegawai kanan Maybank sendiri, selain mereka turut menyediakan ruang dan kemudahan kepada pegawai-pegawai kesatuan dalaman mengadakan aktiviti mereka sejak sebulan lalu.

Seramai 5,200 pekerja kategori perkeranian Maybank merupakan ahli NUBE yang berfungsi sejak lima dekad lalu, kata Solomon.

“Maybank bukan sahaja melanggar Akta Kesatuan Sekerja malah peruntukan dalam Perjanjian Kolektif di mana NUBE merupakan pihak tunggal untuk membincangkan skim dan syarat perkhidmatan bagi pekerja-pekerja perkeranian,” kata beliau.

“NUBE telah melulis kepada Kementerian Sumber Manusia agar bertindak dalam hal ini tetapi menterinya tidak memberikan respons sehingga kini,” kata beliau memberikan alasan mengapa pertikaian itu dibawa ke mahkamah minggu lalu.

“NUBE akan terus memperjuangkan usaha memastikan penubuhan kesatuan dalaman ini dibatalkan, menerusi apa jua saluran dan akan mendedahkan tindakan-tindakan tidak sahih pengurusan Maybank kepada dunia,” katanya lagi.

Katanya, NUBE berharap Kementerian Sumber Manusia akan segera menarik balik kelulusan bagi mengelakkan kesatuannya menghabiskan wang kerana tindakan perundangan.

“Disebabkan keputusan-keputusan silap Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, NUBE telah menghabiskan hampir RM2 juta dalam 10 tahun yang lalu dalam bentuk tindakan perundangan.

“Oleh itu, keputusan kali ini juga bertentangan dengan peruntukan undang-undang, kami berharap kementerian akan segera membetulkan keadaan dan mengelakkan kami menghabiskan wang hanya kerana kes mahkamah,” katanya lagi.

Tiada ulasan: