Rabu, 23 Februari 2011

PKR Sedia Bekerjasama Dengan Calon MCLM

Ditulis oleh Najib


KELANA JAYA : PKR sedia bekerjasama dengan Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia(MCLM) dan juga pihak-pihak lain sekiranya calon itu layak dan berkaliber serta prihatin terhadap permasalahan rakyat di bawah.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam sidang media di Ibupejabat parti itu di Kelana Jaya pagi tadi berkata sebelum ini, beliau serta pimpinan PKR telahpun menyatakan perkara ini secara terbuka.

"Parti, saya sendiri dan juga Azmin (Ali) sebagai Timbalan Presiden dah secara terbuka sebut bahawa kita terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa pun termasuklah MLCM, tetapi sebagai parti politik dan juga sebagai usaha kita untuk pastikan perkara-perkara yang dituduh lemah dulu tidak berulang," tegas beliau.

Beliau berkata, mana-mana calon yang berminat untuk bertanding dibawah panji PKR perlulah patuh kepada dasar dan perjuangan parti tanpa mengira kumpulan atau fahaman politik yang dibawa oleh calon.

"Kalau ada calon yang betul-betul layak dan mahu, dia boleh masuk senarai calon kita untuk dipertimbangkan, kita ada kriteria kita. Saya tegaskan ini berkali-kali, pertama dari segi kebolehan sebagai penggubal undang-undang, kita memang terima pandangan daripada MCLM bahawa kita mahukan ahi parlimen yang berkualiti dan sebagaiya.

"Tetapi pada masa yang sama, kebolehan calon-calon untuk bekerjasama dengan peringkat bawah untuk berkhidmat kepada rakyat juga perlu diberi perhatian," kata beliau lagi.

Beliau seterusnya menjelaskan, PKR juga perlu memastikan kesesuaian calon yang dicadangkan mahupun oleh pihak MCLM ataupun pihak lain dengan jentera parti di peringkat bawahan.

Kata beliau, calon-calon yang berminat perlu melalui proses yang sama seperti calon PKR sendiri iaitu perlu menjadi ahli parti dan melalui proses saringan.

Tambahnya lagi, sekiranya calon tersebut didapati layak, semestinya PKR akan berusaha untuk menaikkan dan memenangkan calon tersebut.

Walaubagaimanapun, Rafizi berkata PKR juga perlu berhati-hati agar tidak mengulangi kesilapan lalu iaitu memberikan sokongan kepada calon yang mengikut suara hati sendiri.

"Apabila mendengar suara hati inilah masalahnya kerana bila suara hati itu dipengaruhi oleh RM3 ke 4 juta, suara hatinya menjadi benda lain. Kritikan yang sama dilontarkan terhadap kita dalam isu Zulkifli Nordin, kononnya dia berada dalam dilema antara suara hatinya sedangkan pendirian parti jelas.

"Kita telahpun melalui satu pengalaman yang pahit dalam hal ini, jadi semata-mata untuk membuat perkara yang sama, saya rasa tak pintar dan tak adil untuk Keadilan dan juga untuk PR," tegas beliau lagi.

Tiada ulasan: