Selasa, 22 Februari 2011

PKR mahu Putrajaya dedah maklumat lengkap penerima saham khas Bumi

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Putrajaya agar mendedahkan maklumat lengkap mengenai penerima 1.5 bilion saham khas Bumiputera yang diagihkan sepanjang tahun lalu.

Selain itu komponen Pakatan Rakyat ini juga meminta kerajaan mengumumkan rombakan mekanisme dan penambahbaikan kepada sistem agihan dan pemantauan saham khas Bumiputera untuk mengelakkan penyelewengan yang mengakibatkan kehilangan RM52 bilion saham Bumiputera tidak berulang.

“Saya akan membawa perkara ini dalam sidang Dewan Rakyat yang akan datang untuk memastikan ketelusan dan pertanggungjawaban pihak-pihak yang terbabit,” kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Khamis lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pegangan ekuiti Bumiputera dalam pasaran modal kini mencecah 22 peratus berbanding sasaran kerajaan 30 peratus.

Katanya peningkatan pegangan itu dicapai antaranya berikutan sumbangan melalui pengagihan unit saham khas Bumiputera melalui Tawaran Awam Permulaan (IPO) yang dilaksanakan oleh kementerian itu.

Bagi tahun lepas sahaja, beliau berkata, daripada 18 IPO atau 1.6 bilion unit saham khas Bumiputera, sebanyak 1.5 bilion unit atau 91.6 peratus telah berjaya diperuntukkan kepada para pelabur Bumiputera.

Namun, katanya kementerian akan mengkaji semula keberkesanan instrumen ini kerana walau pun sudah lama dilaksanakan, pegangan baru mencecah 22 peratus.

Sehubungan itu Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang ini memberitahu, PKR percaya bahawa teras pengupayaan ekonomi Bumiputera perlu beralih dari kegilaan mencapai sasaran 30 peratus ekuiti kepada fokus untuk meningkatkan pendapatan isi rumah keluarga Bumiputera.

Katanya, golongan itu membentuk 75 peratus daripada anggaran 11 juta rakyat termiskin di negara ini yang hanya mendapat pendapatan bulanan purata sebanyak RM1,500 sebulan.

“Kegilaan dengan 30 peratus sasaran ekuiti seperti yang dimainkan Umno/BN tidak akan berjaya menangani kemelut ekonomi rakyat terbanyak Bumiputera dan akan terus disalahgunakan oleh golongan elit pemerintah dan niagawan,” kata beliau.

Saifuddin juga berkata, rakyat sudah tentu merasa janggal apabila kerajaan Umno/BN mendabik dada apabila hanya berjaya meningkatkan ekuiti Bumiputra ke tahap 22 peratus dalam 2011 sedangkan ia gagal mencapai sasaran 30 peratus yang ditetapkan untuk tahun 1990.

“Selepas 21 tahun dan penyelewengan saham berjumlah puluhan bilion ringgit atas nama Melayu dan Bumiputera, kini Umno/BN tidak lagi memikirkan persoalan maruahnya dan akan sanggup mendabik dada walau sekelumit mana pun peningkatan ekuiti Bumiputera,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, kebimbangan sebenar PKR adalah berhubung pengurusan agihan saham khas Bumiputera memandangkan skim agihan yang sama telah menyebabkan sejumlah RM52 bilion dari RM54 bilion saham yang diagihkan kepada Bumiputera lesap begitu sahaja, seperti yang diakui Perdana Menteri sendiri.

“Dalam tahun 2010 sahaja, sebanyak 1.5 bilion saham dari 18 tawaran awam permulaan diagihkan kononnya kepada pelabur Bumiputera,” katanya.

Tahun 2010 juga menyaksikan apungan saham yang terbesar akhir-akhir ini, termasuklah yang melibatkan Petronas Chemical Group Berhad pada harga tawaran RM5.05 setiap saham dan Malaysian Marine and Heavy Engineering Holding Berhad pada harga tawaran RM3.61 setiap saham.

“Jika sebahagian besar dari 1.5 bilion saham yang diagihkan kepada pelabur Bumiputera itu datangnya dari saham-saham syarikat Petronas ini, maka saham yang bernilai berbilion ringgit telah pun diagihkan kepada pelabur-pelabur yang berselindung di belakang nama Bumiputera,” katanya.

Saifuddin berkata mekanisme agihan inilah yang telah gagal sebelum ini hingga mewujudkan budaya politik naungan yang mencari jalan mudah mendapatkan saham dengan berselindung di sebalik alasan mencapai sasaran 30 peratus ekuiti Bumiputera.

“Akhirnya, berpuluh-puluh bilion ringgit saham yang diagihkan kepada individu-individu berkepentingan dijual dengan segera untuk mendapatkan kekayaan mudah, lalu mewujudkan golongan elit kaya Melayu yang sebenarnya menjadi kaya dengan menindas orang Melayu terbanyak.

“Oleh itu, mekanisme yang sama yang telah menyebabkan kerugian RM52 bilion saham Bumiputra ini perlu dirombak sama sekali,” katanya lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada awal bulan ini mengumumkan penubuhan Teraju bagi menyelaraskan isu-isu pembangunan ekonomi Bumiputera.

Tiada ulasan: