Rabu, 23 Februari 2011

PKR Akan Bawa Isu Tanah NCR Ke Parlimen Mac ini

TVS NEWS


SHAH ALAM : Pemilik tanah hak adat Orang Asal (NCR) di Sarawak akan terus dilindungi dari terus diperkotak-katikkan oleh pemimpin Barisan Nasional (BN), di mana hak mereka jelas tertulis di dalam Perkara 153.

Menurut Perkara 153: "Adalah menjadi tanggung jawab Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum pribumi di Sabah dan Sarawak serta kepentingan yang sah kaum-kaum yang lain."

Justeru menurut Ahli Parlimen Batu, Tian Chua akan membawa perkara ini kepada sidang parlimen yang akan diadakan pada 7 Mac ini.

"Sungguhpun tanah NCR ini di bawah kerajaan negeri tetapi ini kerana ia melibatkan dasar kerajaan Barisan Nasional dan juga perlembagaan dengan jelas menyatakan dalam artikel 153 dan 152.

"Bukan sahaja bumiputera Semenanjung harus dilindungi tapi hak kedudukan istimewa kaum peribumi ini di Sabah dan Sarawak harus juga dipelihara," katanya yang juga Naib Presiden PKR.

Tanah yang menjadi pertikaian sebagai tanah adat pribumi yang didakwa dirampas oleh Borsarmulu Sdn Bhd, yang kini membangunkannya sebagai Royal Mulu Resort di Mulu.

Tambah beliau lagi, perkara ini menjadi tanggunggjawab Pakatan Rakyat dalam membebaskan Orang Asal daripada masalah yang membelenggu.

"Keadaan yang begitu teruk sekarang dengan rampasan dan kehilangan tanah pusaka oleh kaum Dayak makin serius dan saya anggap perhatian dari peringkat nasional untuk beri sokongan kepada golongan tertindas ini," katanya lagi.

Ketika ditemubual Tv Selangor, beliau menyatakan kerajaan BN Sarawak tidak mempedulikan hak mereka sebagai kaum peribumi negeri terbabit, malah tanah mereka juga turut dirampas bagi kepentingan dalam mengaut keuntungan.

"Salah satu masalah sehingga kini, Kerajaan Barisan Nasional Sarawak tidak mengiktirafkan hak tanah istiadat kepada kaum peribumi."

"Tanah-tanah ini dirampas digunapakai oleh syarikat-syarikat kroni dan syarikat besar untuk mendapat keuntungan dan ini memberi kesukaran untuk rakyat menuntut hak mereka di mahkamah," katanya.

Sabtu lalu, Tian Chua telah bertemu dengan 30 wakil masyarakat pribumi dari Sarawak, termasuk mereka yang mendakwa terjejas dengan projek Royal Mulu Resort.

Kumpulan penduduk itu ke Kuala Lumpur Jumaat lalu, bagi meraih simpati dan menyebarkan berita tentang kehidupan mereka yang terjejas akibat pembinaan empangan di Baram.

Selain berdemonstrasi di Bukit Bintang dan Pasar Seni di Kuala Lumpur serta di Putrajaya, mereka juga menyebarkan risalah bagi menerangkan kepada orang ramai tentang masalah yang mereka hadapi.

Tiada ulasan: