Jumaat, 18 Februari 2011

Pilihan Raya Kampus: PR mendesak untuk sistem yang adil

MERDEKA REVIEW

Kami, Ahli-ahli Parlimen, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan wakil parti-parti Pakatan Rakyat mewakili seluruh masyarakat dan rakyat Malaysia berasa kesal dengan peraturan universiti yang menyekat hak dan kebebasan akademik mahasiswa dalam mengorientasikan proses demokrasi di dalam Kampus.

Sekatan dan halangan sebegini rupa yang terus-terusan menafikan hak kebebasan mahasiswa untuk berkempen dan melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi dan memilih kepimpinan di kalangan mahasiswa haruslah dihentikan. Sebaliknya, pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) harus telus, adil dan tidak campur tangan dalam pilihanraya kampus di semua universiti.

Sudah tiba masanya pihak kerajaan memikirkan kembali pelaksanaan cadangan supaya para mahasiswa sendiri mengendalikan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Segala sistem yang meragukan harus dimansuhkan serta merta kerana ini jelas mencabuli prinsip-prinsip demokrasi, khususnya pilihanraya yang bebas dan adil. Mahasiswa dan mahasiswi berhak mengadakan pilihanraya sendiri tanpa sebarang campur tangan.

Sehubungan dengan itu, kami menuntut agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi:

1. Menghormati autonomi mahasiswa dalam keterlibatan mahasiswa di lapangan masyarakat serta menghentikan segala intimidasi terhadap mahasiswa-mahasiswa.

2. Mematuhi dan menghormati kebebasan bersuara mahasiswa seperti yang terdapat dalam Artikel-19 DeklarasiUniversal Hak Asasi Manusia dan Artikel-10 Perlembagaan Malaysia iaitu mahasiswa juga warganegara Malaysia.

3. Memberi kebebasan sepenuhnya kepada mahasiswa untuk terlibat dan bersuara di dalam apa jua aktiviti yang membina karisma dan idealisme tanpa dikongkong dan disekat atau diancam dengan ugutan oleh mana-mana pihak mahupun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

4. Memastikan ketelusan dalam proses Pilihanraya Kampus bagi kesemua kampus di Malaysia, dan bukan sahaja bagi dua (2) kampus yang dibangkitkan di sini, termasuklah memberi ruang sepenuhnya untuk mana-mana mahasiswa untuk bertanding dalam pilihanraya kampus.

5. Memberikan kebenaran kepada mahasiswa untuk berkempen di dalam Pilihanraya Kampus dengan bebas dan adil.

6. Memanjangkan masa berkempen dari tiga hari kepada tujuh hari bagi memberikan ruang dan masa yang panjang untuk sesi kempen dan menyampaikan manifesto kepada mahasiswa

Disokong oleh:
Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai)
Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Serdang)
Anthony Loke Siew Fook (Ahli Parlimen Rasah)
Dr.Mujahid Yusof Rawa (Ahli Parlimen Parit Buntar)
Amirudin Shari (ADUN Batu Caves)
Nik Nazmi Nik Ahmad (ADUN Seri Setia)
Chan Ming Kai (ADUN Simpang Pulai)
Shamsul Iskandar Mohd Akin (Ketua Angkatan Muda Keadilan)
Rafizi Ramli (Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat)
Siti Aishah Shaik Ismail (Ketua Srikandi Keadilan)

Tiada ulasan: