Khamis, 10 Februari 2011

Peralatan balai raya hilang, exco S'gor salahkan BN

MALAYSIA KINI

Anggota exco Selangor Dr Xavier Jayakumar hari ini menyalahkan pentadbiran BN terdahulu atas kehilangan peralatan dari pusat kegiatan orang ramai di seluruh negeri itu.

xavier jayakumar pc 190110 01Xavier (kiri) juga mendakwa, peralatan bernilai RM385,000 itu telah dilarikan oleh individu yang dikaitkan dengan Umno dan BN selepas pilihan raya umum 2008.

Katanya, kehilangan itu dikesan melalui maklumat dari pejabat daerah dan tanah seluruh negeri itu, tidak termasuk Petaling, Sepang dan Sabak Bernam.

"Beberapa orang individu (atau) ahli UMNO (atau) BN setempat yang tidak bertanggungjawab di kampung-kampung berkenaan telah melarikan beberapa peralatan dewan dengan pengetahuan JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) ketika itu.

"Tapi malangnya mereka mengambil sikap tidak peduli ekoran pertukaran pentadbiran kerajaan negeri," kata pengerusi jawatankuasa tetap kerajaan prihatin negeri Selangor itu dalam satu kenyataan hari ini.

Antara peralatan yang dilaporkan hilang itu termasuk komputer, meja mesyuarat, sistem pembesar suara dan penghawa dingin, kata Xavier lagi.

"Kehilangan ini merupakan tindakan jenayah terhadap harta awam dan kerajaan negeri bercadang untuk membuat laporan polis di setiap daerah yang terlibat," katanya lagi.

Tiada ulasan: