Selasa, 15 Februari 2011

Penjenamaan UNISEL Pacu Perubahan Terbaik

TVS NEWS


SHAH ALAM: Pertukaran nama Universiti Industri Selangor kepada Universiti Selangor (UNISEL) merupakan langkah penjenamaan yang diambil dalam memacu UNISEL sebagai salah sebuah pusat pengajian yang terbaik selaras dengan penubuhannya hampir sedekad.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, UNISEL merupakan lambang kepada negeri Selangor dan pertabalan nama baru universiti diadakan pada majlis konvokesyen UNISEL yang akan datang.

“Saya berterima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi yang telah bersetuju tentang penggunaan nama baru diganti dengan nama Universiti Selangor bukan hanya mengambil kira program pendidikan dan perindustrian dan pengurusan tetapi secara menyeluruh,” katanya.

Tan Sri Khalid berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam Fakulti Perniagaan UNISEL di Hotel Concorde Shah Alam, semalam.

Dalam ucapan alu-aluan Khalid mengingatkan kepada seluruh mahasiswa bahawa anak muda merupakan tunjang untuk membawa perubahan ditambah dengan sokongan teknologi maklumat masa kini.

“Dunia masa hadapan dalam tempoh 6 bulan atau setahun akan datang, saya telah melihat satu pergolakan baru yang akan berlaku dari segi belia dan anak muda dan ini telah kita lihat berlaku di Mesir di mana revolusi Mesir dibawah satu inisiatif belia dan melalui teknologi maklumat. Facebook merupakan antara alat yang membawa semangat perubahan dan reformasi di Mesir,” katanya.

Pada majlis makan malam ini juga, Tan Sri Khalid menyampaikan hadiah kepada 10 orang pelajar telah dipilih selaku penerima anugerah pelajar cemerlang 2010 sementara Unisel Accounting Club dipilih sebagai kelab terbaik.

Muhamad Rauf Nur Misbah dipilih sebagai Olahragawan pada majlis makan malam fakulti perniagaan berdasarkan pencapaian cemerlang dalam acara berbasikal. Pelajar Diploma Pengurusan Industri Sukan berusia 23 tahun ini pernah dianugerahkan Anugerah Invirement Atlithe Award MBPJ bagi tahun 2007 -2008.

Sementara anugerah Olahragawati pula diberikan kepada Nurfarahin Sudin diatas kecemerlangan dalam sukan hoki. Beliau merupakan pemain hoki perempuan bagi pasukan Wilayah Persekutuan dan telah dinobatkan penjaga gol terbaik bagi Kejohanan Hoki Wanita Bawah 16 tahun pada 2006 dan Kejohanan Hoki Wanita 23 Tahun pada 2010.

Majlis turut diserikan dengan persembahan daripada pelajar –pelajar dan kumpulan One Nation Emcee.

Tiada ulasan: