Ahad, 27 Februari 2011

Pengundi Melayu ‘tersesat’ kerana diperbodohkan media arus perdana

WARKAH DAILY

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, perubahan undi Melayu kepada Pakatan Rakyat khasnya PAS hanya akan berlaku apabila orang Melayu mendapat maklumat yang tepat daripada media yang bebas.

Beliau berkata, malangnya hari ini media berbahasa Melayu tidak mendidik masyarakat Melayu mendapat maklumat yang seimbang dan bebas.

Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian semasa ditemui wartawan di Pusat Penamaan Calon bagi Pilihan raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh, di sini sebentar tadi.

Presiden PAS itu seterusnya menambah, media arus perdana berbahasa Melayu terus menjadi alat kepada Umno BN untuk memperbodohkan masyarakat Melayu agar terus menyokong Umno BN.

Disebabkan tiada maklumat yang tepat, katanya masyarakat Melayu masih terus menyokong Umno BN.

“Berbeza dengan media berbahasa Cina, mereka mendidik rakyatnya untuk bijak menilai. Media berbahasa Melayu pula masih tertutup, tidak bebas dan diperalat Umno BN untuk kekal berkuasa,” katanya.

Dalam masa yang sama, sokongan bukan Melayu kepada PAS terutamanya kaum Cina hari ini semakin meningkat, ujarnya lagi.

Beliau menuntut agar media di negara ini khasnya berbahasa Melayu bebas dan tidak lagi diperalatkan untuk kepentingan politik Umno BN.

Dalam pada itu, beliau turut menuntut Umno BN tidak terus memperalatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengekalkan kuasa.

SPR seharusnya menjadi sebuah badan yang bebas yang melayan pelanggannya (parti-parti politik yang menyertai pilihan raya) dengan telus dan adil, katanya.

Beliau menambah, jika SPR sendiri berpihak, dan media pula menjadi semakin tidak bebas, proses demokrasi di negara ini akan semakin tempang.

Turut bersama semasa menunggu proses penyerahan borang pencalonan tadi ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Balasubramaniam. -HRKH

Tiada ulasan: