Ahad, 20 Februari 2011

Penantian Penduduk Kampung Gombak Setia Berakhir Jua...

TVS NEWS


GOMBAK : Penantian hampir 20 tahun penduduk Kampung Gombak Setia akhirnya terlerai apabila 117 daripada mereka hari ini menerima geran hak milik tanah atau notis 5A dari Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pada masa sama mereka turut dikhabarkan dengan berita gembira oleh Khalid berhubung pengurangan bayaran premium tanah yang didiami mereka dari RM2.50 kepada RM1.00 sekaki.

“Dengan mengambilkira penempatan ini sentiasa menjadi rizab tanah orang-orang Melayu, saya dan ahli exco kerajaan negeri telah bersetuju untuk menurunkan daripada RM2.50 sekaki kepada RM 1.00 sekaki,” kata Khalid.

Menurut Khalid, tempoh setahun diberikan kepada penduduk supaya memulakan pembayaran premium tanah mereka sekiranya tidak mahu dikenakan sebarang tindakan perundangan.

Sementara itu, Khalid juga turut memaklumkan tempoh tiga bulan diberikan kepada penduduk yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan notis 5A supaya segera berbuat demikian.

Khidmat untuk mengisi borang tersebut juga akan dijalankan dari rumah ke rumah.

Ujarnya, penduduk harus sedar bahawa tanah merupakan hak rakyat dan pemilik perlu mengambil berat serta menjaga hak mereka sebaik mungkin.

Kesedaran seumpama itu penting kata Khalid supaya rakyat tidak terlalu bergantung kepada Pejabat Tanah untuk menguruskan permasalahan tanah mereka.

Dalam pada itu Khalid juga memberitahu, kerajaan negeri kini sedang merangka sistem untuk menyimpan semua data-data dan dokumen berkaitan tanah supaya ia mudah dikendalikan.

“Dalam masa enam bulan lagi, kita akan menyediakan satu sistem yang mana tiada fail yang digunakan dan saya akan kumpulkan semua dan dimasukkkan salinan dalam sistem web yang ianya boleh diakses dengan mudah.

"Tiada lagi masalah kehilangan fail. Kita mahu adakan sistem yang telus untuk masyarakat kerana itu adalah harta utama masyarakat dan jika tidak dijaga dengan baik bererti kita tidak memberikan perkhidmatan dan berkebajikan,” katanya.

Untuk rekod, penduduk Kampung Gombak Setia telah menuntut hak pemilikan tanah sejak tahun 90-an memandangkan majoriti penduduk yang tinggal di kawasan penempatan itu ialah Melayu.

Tiada ulasan: