Rabu, 23 Februari 2011

Pelepasan kuota perumahan belum diputuskan, TV3 tipu rakyat

SELANGOR KINI


SHAH ALAM – Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad menegaskan laporan Buletin Utama berhubung penghapusan kuota perumahan Bumiputera di negeri ini hanyalah berita berupa propaganda untuk menipu rakyat.

Jelas beliau, berita yang tersiar pada 21 Februari itu tidak tepat apabila hanya menyebut kuota perumahan di Selangor adalah 30 peratus.

“Pada hakikatnya kuota tersebut adalah berbeza menurut daerah dan mukim iaitu dari 30 hingga 70 peratus,” jelas Iskandar dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambahnya, melalui beberapa siri perjumpaan dengan wakil pemaju iaitu Majlis Persatuan Hartanah dan Pemaju Perumahan (REDHA) memang telah dibangkitkan tentang pelepasan kuota secara automatik.

” Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri setakat ini belum lagi membuat sebarang keputusan tentang ‘automatic release’ yang diminta oleh REHDA.

” Kerajaan Negeri telah hanya menubuhkan sebuah syarikat, iaitu Syarikat Perumahan Dan Hartanah Selangor, untuk membantu pemaju memasarkan hartanah di bawah kuota Bumiputera,” jelasnya.

Menurut Iskandar, tindakan penubuhan syarikat itu bertujuan untuk meringankan beban pemaju di samping untuk memastikan pemilikan hartanah oleh masyarakat Bumiputera terus terbela.

Justeru Iskandar menggesa semua pihak supaya tidak terpedaya dengan taktik Umno-Barisan Nasional yang menggunakan media milikan mereka untuk mengaburi mata rakyat.

” Umno sentiasa memainkan sentimen perkauman di dalam setiap isu tetapi sebenarnya bersifat hipokrit.

” Contohnya di dalam isu kuota perumahan Bumiputera, UMNO berkokok kononnya mahu mempertahankan kuota ini tetapi di dalam masa yang sama pemaju-pemaju UMNO juga adalah di antara yang kerap mempertikaikan kuota tersebut,” tambahnya.

Tiada ulasan: