Rabu, 2 Februari 2011

Pegawai Penyiasat Ditemui Mati Dengan Kesan Tembakan Di Kepala

BERNAMA


SHAH ALAM : Seorang pegawai penyiasat berpangkat Sarjan ditemui mati bersebelahan keretanya beserta satu kesan tembakan di kepala di satu kawasan tanah lapang di Puncak Alam 2 di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Mohd Taib Ahmad berkata Mat Saini Omar, 50, merupakan pegawai penyiasat dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan sedang bertugas ketika kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi.

Turut ditemui ialah sehelai pakaian seragam polis dan beberapa helai pakaian lain dipercayai milik mangsa yang tergantung di bahagian belakang di dalam kereta itu.

Mohd Taib berkata polis setakat ini mengklasifikasikan kejadian tersebut sebagai kematian mengejut dan sedang menyiasat sama ada terdapat unsur jenayah mengenainya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

Mat Saini yang berasal dari Tanjong Karang telah berkhidmat dengan pasukan polis lebih 25 tahun. Beliau meninggalkan isteri yang juga kontraktor Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan empat orang anak.

Tiada ulasan: