Jumaat, 4 Februari 2011

PAS, NGO serah memo di kedutaan AS

PAS dan beberapa NGO desak pembebasan Mesir dari cengkaman rejim Presiden Hosni Mubarak



KUALA LUMPUR: PAS dan beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) akan menghantar memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) Jumaat ini menuntut beberapa desakan revolusi pembebasan Mesir daripada cengkaman rejim Presiden Hosni Mubarak.

Ini adalah percubaan kedua PAS dan beberapa NGO selepas gagal menyerahkan memorandum kepada duta Mesir dalam demonstrasi aman dihadapan Pejabat Kedutaan Mesir di sini Isnin lalu.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat Suhaizan Kaiat berkata, kandungan memorandum itu antaranya mendesak supaya tiada campur tangan AS dan segera berundur dalam krisis di Mesir.

“Kita juga mahu desak AS supaya memberi tekanan kepada Mubarak supaya segera meletakkan jawatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.

Beliau berkata memorandum itu akan dihantar selepas berhimpun dan berarak daripada Masjid As-Syakirin di KLCC selepas solat Jumaat.

“Semasa perhimpunan itu nanti, sebahagian daripada kami akan bergerak ke Kedutaan Mesir sekali lagi untuk menghantar salinan memorandum itu,” katanya.

Menjangkakan kehadiran 10,000 penyokong yang akan turut serta dalam himpunan aman tersebut, Suhaizan yang juga Pengarah

Himpunan Bersama Kebangkitan Rakyat Mesir berkata pihaknya mengalu-alukan kehadiran NGO serta parti politik lain termasuk Barisan Nasional (BN).

“Setakat ini 50 NGO sudah menyatakan kesediaan turut serta dalam perhimpunan itu nanti.

“Kita amat mengalu-alukan parti politik lain dan NGO bukan Islam turut serta kerana ia membabitkan solidariti rakyat Mesir secara keseluruhan tanpa mengira agama dan kaum,” katnya.

Suhaizan bagaimanapun berkata setakat ini pihaknya masih belum mendapatkan permit polis untuk perhimpunan itu.

“Disebabkan masa yang suntuk kami tidak sempat mohon (permit), tetapi kami jamin ia hanya satu perhimpunan secara aman tanpa membabitkan sebarang tindakan yang melampaui batas,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan Malaysia yang sehingga kini ‘membisu’ dalam menyatakan pendiriannya kepada krisis di Mesir.

Malah Suhaizan berkata kerajaan Malaysia hanya mengambil jalan selamat dengan hanya mengambil kira kebajikan rakyat Malaysia di Mesir.

“Kerajaan Malaysia juga perlu tunjukkan sikap dan nyatakan polisi yang jelas terhadap kerajaan Mesir,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berkata pihaknya merancang untuk menghantar delegasi ke Mesir dalam misi bantuan kemanusiaan dalam masa terdekat.

“Selepas keadaan mengizinkan, JIM akan ke sana meninjau keadaan sebenar sebelum menghulurkan sebarang bantuan yang diperlukan,” katanya.

Tiada ulasan: