Selasa, 1 Februari 2011

PAS atau PKR di Merlimau?

Mesyuarat Pakatan Rakyat di Kuala Lumpur malam esok untuk menentukan calon.


PETALING JAYA: Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau di Kuala Lumpur malam esok.

Pengarah Pilihanraya PKR Melaka, Mohd Yusof Abdullah berkata, antara agenda mesyuarat tersebut ialah untuk menentukan parti mana yang akan bertanding di Dun tersebut – PAS atau PKR.

PRK Merlimau diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan bulan lalu. Pada pilihan raya umum 2008, kerusi itu ditandingi PAS dan sebelum itu oleh PKR.

Kerusi Merlimau mungkin menjadi rebutan antara dua komponen Pakatan itu berikutan minat PKR untuk bertanding.

Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman menegaskan parti itu akan tetap bertanding di Merlimau berdasarkan persetujuan 2008.

Tetapi, Mohd Yusof yang juga ketua PKR Cabang Bukit Katil, mahu PAS mengambil pengajaran dari kekalahan besar calon di Dun Tenang, Ahad lalu.

“Majoriti 3,703 undi yang diperolehi BN sangat besar. Tidak mustahil boleh berulang lagi di Merlimau,” katanya.

Menurut beliau, PKR Melaka sudah membuat persiapan bagi menghadapi Merlimau termasuk sudah menyenarai pendek senarai calon. Jentera parti juga telah digerakkan dan sudah mula menemui pengundi,” katanya.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan 26 Febuari sebagai hari penamaan calon dan 6 Mac sebagai hari mengundi

Tiada ulasan: