Jumaat, 18 Februari 2011

Palanivel buat perubahan drastik, Murugessan kembali SU Agung MIC


KUALA LUMPUR – Presiden MIC Datuk G Palanivel membuat perubahan drastik kedua dalam sebulan ini bagi memperkukuhkan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu menjelang pilihan raya umum ke-13 dengan melantik setiausaha agung baru.

Beliau melantik semula S Murugessan sebagai setiausaha agungnya manakala penyandang jawatan itu, Datuk T Rajagopal pula diberikan tugas lamanya menerajui MIC Negeri Sembilan.

Difahamkan Palanivel (gambar), yang menggantikan Datuk Seri S Samy Vellu Disember lalu sebagai presiden, mengumumkan perubahan ini - yang mengejutkan banyak pihak dalam MIC - pada pertemuan dengan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC di ibu negara hari ini.

“Presiden membuat keputusan agar Datuk Rajagopal memberi tumpuan untuk memperkukuhkan MIC Negeri Sembilan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang... presiden mahu menyusun semula kepimpinan negeri yang kelihatan agak lemah sekarang,” kata seorang pegawai parti itu kepada The Malaysian Insider hari ini.

“Kepimpinan parti merasakan Negeri Sembilan lebih memerlukan Rajagopal,” katanya lagi.

MIC mengalami kekalahan teruk di negeri itu dan beberapa negeri lain pada 8 Mac 2008.

Perubahan itu dikatakan berkuat kuasa serta-merta tetapi Murugessan kini berada di luar negara dan dipercayai hanya akan pulang ke tanah air esok.

Palanivel mengadakan pertemuan informal dengan pegawai-pegawai kanan parti hari ini susulan mesyuarat jawatankuasa itu bulan lalu di Segamat.

Perubahan mengejutkan ramai kerana bulan lalu Murugessan diberikan jawatan kanan parti selepas dipecat oleh Samy Vellu tahun lalu.

Murugessan, bekas calon kerusi Parlimen Subang, dipecat daripada jawatan setiausaha agung Samy Vellu di sebalik Gerakan Anti Samy Vellu (GAS).

Samy Vellu memecat Murugessan kononnya mengeluarkan kenyataan bahawa pemecatan empat orang pemimpin kanan MIC Mei tahun lalu sebagai tidak wajar.

Antara yang dipecat ialah dua anggota jawatankuasa itu dan timbalan ketua Pemuda MIC V Mugilan, yang turut merupakan Pemuda MIC Hulu Selangor, bahagian dipimpin Palanivel.

Ketika itu tempat Rajagopal digantikan oleh Datuk V.S. Mohan dan di bawah perubahan terbaru ini, Mogan dilantik sebagai ketua penerangan MIC pusat.

The Malaysian Insider juga difahamkan Palanivel memaklumkan bahawa beliau hanya akan melantik seseorang pemimpin MIC sebagai anggota Senat selama satu penggal.

“Presiden mahu memberi peluang kepada lebih ramai pihak dalam MIC memegang jawatan senator selepas ini,” katanya lagi.

Tiada ulasan: