Ahad, 20 Februari 2011

Pakatan belum tentukan parti bertanding di Kerdau

BERNAMA

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat bagi menentukan parti mana yang akan bertanding mewakili pakatan pembangkang pada pilihan raya kecil DUN Kerdau, Pahang.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pada pilihan raya umum lepas pada 2008, kerusi DUN itu ditandingi oleh calon PAS.

"Bagi kerusi DUN Merlimau (Melaka), Majlis Pakatan Rakyat bersetuju meletakkan calon PAS dan untuk kerusi DUN Kerdau kita akan tentukan nanti," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin PKR Pulau Pinang, di George Town, hari ini.

Ditanya mengenai jentera pilihan raya Pakatan Rakyat bagi kedua-dua kawasan itu, beliau berkata: "Jentera pilihan raya kita baik dan memuaskan. Kita belum melancarkan sepenuhnya lagi."

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil DUN Merlimau dan DUN Kerdau diadakan serentak pada 6 Mac ini manakala tarikh penamaan calon bagi kedua-dua DUN itu ditetapkan pada 26 Februari ini.

Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, dari BN pada 12 Februari lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS, Hassanuddin Salim ,dengan majoriti 1,615 undi.

Sementara itu, kerusi DUN Merlimau kosong selepas penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, dari BN, meninggal dunia pada 20 Jan lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, beliau menang dengan majoriti 2,154 undi menewaskan calon PAS, Jasme Tompang.


Tiada ulasan: