Rabu, 23 Februari 2011

OIC gesa rundingan damai di negara Islam bergolak

BERNAMA

DUBAI — Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menggesa semua pihak di negara-negara Islam bergolak mengambil pendekatan rundingan damai bagi mengelakkan keganasan dan pertumpahan darah.

Perkumpulan negara-negara Islam itu mengikuti setiap perkembangan di negara terbabit dengan penuh keprihatinan, kata Setiausaha Agung OIC Prof Ekmeleddin Ihsanoglu dalam satu kenyataan.

Menurutnya, OIC yang berpangkalan di Jeddah, kesal dengan ketegangan yang berlaku sehingga mengorbankan nyawa dan kemusnahan harta benda.

“Jelas sekali, negara-negara ini sedang melalui keadaan paling sukar yang seharusnya dihadapi dengan penuh kesabaran, bijak dan berwawasan,” kata Ihsanoglu.

Negara berkenaan iaitu Bahrain, Libya dan Yemen kini menghadapi krisis berikutan bantahan rakyat anti kerajaan, satu keadaan serupa yang berlaku di Mesir dan Tunisia yang menyaksikan pemimpin mereka terpaksa meletak jawatan.

Beliau berkata OIC yakin rakyat di negara-negara berkenaan akan dapat menghadapi waktu sukar itu dengan tindakan lebih tenang dan jalan damai.

Tiada ulasan: