Ahad, 13 Februari 2011

NGO desak gugur pendakwaan terhadap Shuhaimi

Fadli

KUALA LUMPUR: Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan Persekutuan menggugurkan pendakwaan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei kerana ia bertentangan dengan hak kebebasan bersuara.

“Kami menggesa Pejabat Peguam Negara menggugurkan tuduhan terhadap Shuhaimi serta-merta sebagai tanda hormat kepada kebebasan bersuara.

“Kami mahu kerajaan memansuhkan Akta Hasutan serta merta dan menarik dakwaan terhadap semua individu yang didakwa mengikut akta itu,” kata mereka dalam satu kenyataan media bersama.

Antara NGO itu ialah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), Writers Alliance for Independence serta Amnesty International Malaysia.

Dalam kenyataan itu, mereka percaya Shuhaimi mempunyai hak yang sah untuk memberi komen terhadap pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor.

“Semua warganegara sama ada wakil rakyat atau bukan memiliki hak mengkritik keputusan dan tindakan institusi awam – eksekutif, kehakiman, legislatif, Suruhanjaya Pilihan Raya dan istana demi ‘kesihatan demokrasi,” kata mereka.

Mereka menyifatkan pendakwaan itu adalah pencabulan terhadap kebebasan bersuara dan bertentangan dengan semangat Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia.

Mereka percaya pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dibuat bekas Perdana Menteri sebelum ini, jauh lebih bersifat serius berbanding komen Shuhaimi

Kata mereka, Pejabat Peguam Negara perlu menghentikan pendakwaan terpilih ahli politik pembangkang dan bertindak bebas, bukannya menjadi alat penganiayaan politik.

“Pendakwaan itu terang-terangan merupakan penganiayaan politik. Kami menyanjung kerajaan Selangor kerana memberikan bantuan guaman dalam mempertahan kebebasan bersuara Adun mereka.

“Ia merupakan tindakan murni menegakkan hak asasi manusia dan keadilan sosial di Selangor. Inilah intipati kebebasan bersuara,” kata mereka lagi,” kata kenyataan itu lagi.

Shuhaimi sebelum ini dituduh mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung artikel dalam blognya yang mengkritik pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Jika sabit kesalahan, Shuhaimi berhadapan hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali. Kes akan didengar semula 28 Mac depan.

Tiada ulasan: