Rabu, 9 Februari 2011

Najib terbukti gagal bawa reformasi ekonomi, kata Tony Pua

THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR — Pemimpin DAP mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terbukti telah gagal dalam membawa pembaharuan ekonomi yang dijanjikan selepas menggugurkan inisiatif Model Baru Ekonomi (MBE) sendiri, sebaliknya memutuskan untuk memberi nafas baru kepada Dasar Baru Ekonomi (DBE).

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua berkata, kritikan oleh anggota Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MPEN), kenyataan bekas duta Amerika Syarikat ke Malaysia dan pengumuman Najib sendiri - kesemuanya pada hari yang sama semalam - menunjukkan MBE sudah “mati” dan sudah “tidak relevan” lagi.

“Sebaliknya kerajaan memilih untuk melanjutkan hayat DEB dengan tiada tarikh akhir,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara ini dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Pua berkata, anggota MPEN Datuk Dr Zainal Aznam Mohd Yusof berpendiran bahawa pentadbiran Najib tidak cukup iltizam politik untuk melaksanakan pembaharuan-pembaharuan yang diperlukan, sekali gus membawa kepada ketidaklaksanaan Suruhanjaya Peluang Sama Rata - salah satu inisiatif yang disyorkan oleh MPEN dalam laporan pertamanya, yang dikeluarkan Mac lalu.

Laporan kedua MBE dikeluarkan akhir tahun lalu tiada butiran mengenai penguatkuasaan suruhanjaya itu.

Zainal Aznam semalam berkata syor penubuhan suruhanjaya itu ada digariskan dalam laporan pertama MBE, tetapi ia tidak dilaksanakan kemudian.

Malah Zainal Aznam juga berkata pelantikan bekas menteri besar dan bekas anggota Kabinet pusat Tan Sri Mohd Isa Samad sebagai pengerusi Felda dengan “rekod masalah rasuah” sebelum ini menimbulkan kebimbangan dalam mengepalai agensi persekutuan peneroka itu.

Menurut Pua, pada forum yang sama bekas Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir juga membidas perkembangan semasa dengan merujuk kepada amalan rasuah dan kronisme yang berlarutan dan terus meningkat.

“Dengan merujuk kepada pelan Najib seperti MBE, GTP, ETP dan sebagainya.... beliau menambah begitu banyak kenyataan yang cantik dibuat, tetapi kesemuanya tidak menggambarkan keadaan yang sebenar,” kata beliau.

Begitu juga kenyataan bekas duta AS ke Malaysia John Mallot, kata Pua dengan merujuk kepada kolumnya dalam Wall Street Journal, yang antara lain menyebut “walaupun Najib memberikan harapan perubahan setahun lalu dengan MBE, yang menjanjikan dasar tindakan afirmatif inklusif, dalam kata-kata Najib sendiri, mesra pasaran, berasaskan merit, telus dan bertunjangkan keperluan, beliau telah gagal dalam melaksanakannya.”

Pua menambah, perdana menteri sendiri memilih hari yang sama untuk mengadakan mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB), yang turut mengumumkan pelancaran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bagi memperkukuhkan lagi agenda pembangunan golongan berkenaan.

Menurut Najib agensi itu akan berfungsi bagi meneraju, mengurus serta memacu penyertaan golongan Bumiputera dalam ekonomi melalui pelbagai inisiatif baru serta sedia ada.

Najib berkata bagi memastikan pelaksanaan inisiatif Bumiputera yang berkesan, peranan Teraju akan meliputi beberapa aspek dan dimensi.

“Ini mengesahkan kritikan bahawa Najib meletakkan agenda kaum berbanding matlamat asal MBE,” kata Pua.

Sehubungan itu kata Pua, Najib terbukti seorang yang telah gagal dalam melaksanakan pembaharuan dengan pendekatan “Najibnomics” beliau tidak membawa ke mana-mana pun, sebaliknya hanya mengesahkan balik DEB yang kontroversial.

Malangnya menurut beliau, perdana menteri memilih untuk memenuhi kehendak kepentingan politik dan kumpulan-kumpulan ekstremis seperti Perkasa, sebaliknya tidak melaksanakan dasar pembaharuan ekonomi tulen bagi memulihkan daya saing ekonomi yang semakin menurun.

Tiada ulasan: