Sabtu, 12 Februari 2011

Najib: Taib sudah ada inspirasi, konvensyen BN Sarawak 5 Mac

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, Barisan Nasional (BN) Sarawak akan mengadakan konvensyen 5 Mac ini — langkah membuat persediaan susulan menghadapi pilihan raya negeri itu.

Dilihat sebagai petunjuk yang hampir jelas BN sudah bersedia menghadapi pilihan raya negeri, Najib yang juga Pengerusi BN berkata, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud sudah mempunyai “inspirasi” untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

“Kita kena tanya ketua menteri. Beliau sudah pun ada inspirasi sekarang,” kata Najib ketika ditanya mengenai tarikh pilihan raya negeri.

Najib juga berkata beliau akan melawat Sarawak pertengahan bulan depan bersama pemimpin-pemimpin BN.

Mandat Dewan Undangan Negeri Sarawak akan berakhir Julai ini.

Najib juga memberikan petunjuk bahawa kempen BN Sarawak akan bermula pertengahan bulan depan.

“Saya sudah dua kali melawat Sarawak termasuk melawat Belaga. Kunjungan-kunjungan itu sebahagian daripada inisiatif saya turun padang,” kata Najib.

“Saya juga akan melawat Sarawak pertengahan Mac, ramai daripada kami akan ada di sana,” kata presiden Umno ini selepas mempengerusikan mesyuarat BN di sini malam ini.

Tiada ulasan: