Sabtu, 19 Februari 2011

Najib: Pakatan guna suruhanjaya kes Teoh isu PRU

THE MALAYSIAN INSIDER


Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berucap pada majlis Multaqa Guru Takmir Seluruh Malaysia di Dewan Tun Dr Ismail (PWTC) pada hari ini. — Foto Bernama
KUALA LUMPUR — Datuk Seri Najib Razak menyifatkan tindakan memulaukan prosiding Suruhanjaya Siasatan yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik Exco Selangor, sebagai modal kepada pembangkang untuk dijadikan isu pada pilihan raya akan datang.

Perdana Menteri berkata tindakan itu bertujuan melengah-lengahkan tugasan suruhanjaya itu yang sekali gus menampakkan kerajaan seperti tidak melakukan apa-apa tindakan bagi mencari punca kematian mendiang Teoh.

“Ia dipolitikkan. Mereka ini hendak cari jalan untuk melengah-lengahkan kes ini. Tujuannya ialah supaya kes ini boleh dijadikan satu isu dalam pilihan raya akan datang.

“Sebab itu nawaitu, niat oleh pembangkang yang menasihati keluarga Teoh Beng Hock, supaya mereka harap untuk melengah-lengahkan kes ini untuk menampakkan kerajaan tidak membuat sesuatu untuk mencari kebenaran atas punca kematian Teoh Beng Hock sehinggalah pada pilihan raya akan datang,” katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Multaqa Guru Takmir Seluruh Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Semalam, kerajaan negeri Selangor turut menarik diri daripada menyertai prosiding suruhanjaya yang diadakan untuk menyiasat kematian Teoh, sehari selepas keluarga mendiang berbuat demikian.

Peguam yang mewakili kerajaan negeri Selangor, Malik Imtiaz Sarwar berkata, kerajaan negeri itu memutuskan untuk menarik diri ekoran pendirian tidak konsisten Peguam Negara yang menyediakan kakitangannya sebagai pegawai pengendali sedangkan pada masa yang sama membuat permohonan semakan terhadap keputusan terbuka inkues awal bulan lalu.

Kelmarin, keluarga Teoh yang gagal mendapat kebenaran suruhanjaya siasatan untuk menangguhkan prosiding bertindak menarik diri daripada terlibat dalam siasatan itu.

Peguam Karpal Singh dan Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga setiausaha politik itu turut gagal dalam permohonan mereka supaya Tan Sri James Foong berundur sebagai pengerusi suruhanjaya.

Kenyataan menarik diri itu dibuat oleh Karpal sejurus selepas Foong menyatakan pendirian anggota untuk meneruskan prosiding tanpa menunggu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung permohonan semakan kehakiman pihak keluarga Teoh mengenai keputusan suruhanjaya yang membenarkan tiga pegawai dari Pejabat Peguam Negara bertindak sebagai pegawai pengendali.

Foong berkata tiada sebarang alasan untuk pihak suruhanjaya meneliti semula keputusan mereka yang membenarkan Peguam Kanan Persekutuan Amerjeet Singh, timbalan-timbalan pendakwa raya Kwan Li Sa dan Awang Armadajaya Awang Mahmud sebagai pegawai pengendali pada Isnin lalu dan bersedia memulakan prosiding.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Tiada ulasan: