Sabtu, 12 Februari 2011

M’sia beku sijil sokongan pelajar baru ke Mesir

Tindakan ini selaras dengan usaha JPT menilai kembali tahap pengajian, kata Khaled Nordin.

KUCHING: Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Kementerian Pengajian Tinggi bertindak membekukan tawaran Sijil Sokongan Dua Negara

(SSN) kepada pelajar baru dari negara ini yang berhasrat untuk melanjutkan pendidikan ke Mesir untuk sementara waktu.

Menterinya, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan ini juga selaras dengan usaha JPT untuk menilai kembali tahap pengajian yang ditawarkan oleh beberapa universiti di Mesir khususnya dalam bidang perubatan.

Selain itu katanya, langkah berkenaan juga adalah berkaitan dengan faktor keselamatan yang melibatkan warga negara ini terutama pelajar yang berada di negara bergolak tersebut.

“Selepas ini (bila keadaan tenteram) JPT akan mengkaji dari pelbagai aspek seperti kemudahan, program pengajian dan tenaga pengajar di beberapa universiti tempat pelajar kita menuntut di Mesir untuk dinilai kembali.

“JPT akan menghantar rombongan melibatkan beberapa agensi yang berkaitan termasuk penaja untuk memantau perkara ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Pendidikan Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA) Hospitaliti and Tourism Dicipline Cluster di Kompleks Pelancongan Sarawak di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Muda Pelancongan Sarawak merangkap Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Datuk Haji Talib Zulpilip.

Khaled menambah, JPT juga akan menghantar pegawainya ke Mesir bagi berbincang mengenai masa sebenar universiti yang ditutup berikutan krisis pergolakan politik di sana akan dibuka semula.

Peperiksaan ditangguh?

“Kita juga berbincang sama ada dibenarkan peperiksaan ditangguh atau dilaksanakan di Malaysia agar tidak menjejaskan pengajian pelajar negara ini,” katanya sambil memberitahu, surat mengenai perkara itu telah dihantar kepada universiti-universiti di Mesir
tetapi tiada jawapan diterima setakat ini.

Jawatankuasa khas akan diwujud untuk membincangkan secara terperinci tindakan yang boleh diambil bagi membantu penuntut yang mengambil pelbagai jurusan di beberapa universiti di Mesir termasuk 5,000 penuntut bidang perubatan daripada 11,000 penuntut
Malaysia di sana.

Sementara itu, Universiti UCSI melabur RM1.3 bilion untuk keseluruhan program Pendidikan Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA) Hospitaliti and Tourism Dicipline Cluster dengan memperuntukan lebih RM200 juta pembinaan hotel di Sarawak.

Talib memberitahu, pemilihan Sarawak adalah tepat dan bersesuaian untuk program pendidikan hospitaliti dan pelancongan kerana industri pelancongan mempunyai ‘keserasian’ serta berpotensi maju di Bumi Kenyalang.

“Sarawak mempunyai pelbagai aset tarikan pelancong terutama alam semula jadi, budaya, warisan, makanan, layanan mesra warganya serta banyak lagi keindahan lain yang belum diterokai,” tambahnya

Tiada ulasan: