Rabu, 2 Februari 2011

Mesir: AMK desak kerajaan bertindak segera

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) kesal dengan kelembapan Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Luar dalam memberi respons balas mengenai krisis yang sedang melanda Mesir yang kini turut mengesani komuniti Malaysia yang kebanyakannya terdiri daripada mahasiswa.

Seramai 11,319 pelajar Malaysia didaftarkan secara rasmi menuntut di Mesir dalam pelbagai disiplin terutama dalam bidang perubatan dan agama.

Dalam jumlah ini lebih daripada 70 peratus pelajar terlibat dengan kawasan darurat terutama di Kaherah.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, keadaan makin meruncing apabila Presiden Hosni Mubarak tetap berkeras untuk mengekalkan kuasa diktaktornya, rakyat semakin bangkit dan pihak penjenayah mengambil kesempatan untuk merompak dan membakar bangunan.

“Dalam keadaan yang meruncing ini, adalah mustahil untuk para pelajar mendapatkan bekalan makanan dan kewangan memandangkan kedai semuanya ditutup,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pihak AMK telah menghubungi wakil AMK di Mesir dan pihak pelajar sendiri, mendapati bahawa keadaan di sana semakin teruk akibat daripada lambatnya bantuan daripada kerajaan Malaysia dan kedutaan.

Beliau berkata, bekalan makanan tidak mencukupi dan tidak menyediakan kemudahan pengangkutan untuk pulang atau keluar daripada kawasan darurat.

“Justeru itu, AMK dengan ini secara rasmi mendesak Kerajaan Malaysia agar menyegerakan bantuan makanan dibekalkan segera kepada para pelajar, pelajar dibawa pulang segera melalui penerbangan yang dibawa oleh kerajaan Malaysia,” katanya.

Tambahnya, secara alternatif, penggunaan kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia atau kapal-kapal swasta boleh dimanfaatkan; dan bantuan keselamatan kepada rakyat dan pelajar Malaysia sewaktu proses membawa keluar dari kawasan darurat.

AMK, katanya yakin dan percaya bahawa rakyat Malaysia seluruhnya tidak mempunyai ruang untuk berkompromi dengan kelembapan tindakan yang berpotensi mengancam nyawa pelajar-pelajar Malaysia di sana

Tiada ulasan: