Sabtu, 12 Februari 2011

Merlimau: Calon penentu BN kekalkan kemenangan, kata Najib

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Najib Razak berkata calon yang disenangi rakyat, berwibawa dan tidak mempunyai masalah peribadi akan mencerahkan peluang Barisan Nasional (BN) menang menjadi kenyataan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau kelak.

Perdana Menteri, yang juga Pengerusi BN, berkata calon yang terbaik di Merlimau penting kerana isu nasional yang diguna pakai sebagai serangan kepada BN tidak diterima rakyat.

Nampaknya sokongan rakyat bertambah (kepada BN) tapi (kita kena) pastikan kita kerja kuat (untuk menang di Merlimau),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi.

Beliau berkata mesyuarat membincangkan persiapan untuk pilihan raya kecil DUN Merlimau dengan mendengar taklimat Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dijadikan panduan di mana jentera pilihan raya sudah bergerak dan program tertentu sudah disusun.

“Umpamanya Timbalan Perdana Menteri turun (ke Merlimau) pada 14 Mac dan saya 19 Mac diikuti pemimpin lain turut serta membantu usaha mencapai kemenangan di Merlimau,” katanya.

“Kita juga ambil maklum laporan akhbar di mana Ketua Menteri Melaka (Datuk Seri Mohd Ali Rustam) menghabiskan masa enam jam sehari di DUN Merlimau,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat itu juga membincangkan prestasi peningkatan majoriti hampir 50 peratus tambahan pada kemenangan di Pilihan Raya Kecil DUN Tenang, Johor meskipun bilangan yang keluar mengundi menurun.

“PAS tak dapat bertapak di Johor walaupun letak calon dan pemimpin besar mereka (pembangkang) turun. Jelas ternyata Johor adalah kubu kuat Umno dan BN,” katanya.

Najib (gambar) berkata prestasi terbaik BN ialah di ketiga-tiga kawasan Felda yang menyumbang 2,500 majoriti daripada jumlah 3,707 undi yang diperoleh.

“Itu bererti bahawa isu yang dimainkan bahawa Felda bankrap (yang mana) ia satu pembohongan. Peneroka dan generasi kedua telah menolak apa yang ditohmahkan itu,” katanya.

Beliau berkata bedah siasat itu juga mendapati sokongan bukan Melayu terhadap BN terus meningkat dan ini memberikan satu petanda menggalakkan dan memerlukan usaha-usaha berterusan supaya tahap sokongan kepada BN bertambah.

“Pada umumnya kita berpuas hati meskipun serangan bertubi-tubi oleh parti pembangkang yang membangkitkan pelbagai isu tetapi akhirnya, kesudahannya rakyat lebih yakin kepada BN daripada pembangkang,” katanya.

Katanya jentera BN di Tenang lebih kepada konteks jentera tempatan dan negeri ditambah dengan bantuan pemimpin pusat yang turun, berjalan baik dan memberi kesan kepada kejayaan BN.

Tiada ulasan: