Isnin, 28 Februari 2011

MCA tak mahu lobi kerusi tambahan PRU13

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — MCA tidak akan melobi atau memohon penambahan kerusi pada pilihan raya akan datang, sebaliknya mahu memastikan calon parti itu berpotensi memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN), kata presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Beliau berkata kuota pembahagian kerusi untuk parti komponen BN pada pilihan raya akan datang bukan suatu isu, sebaliknya apa yang penting ialah semua pihak perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan BN.

Dr Chua berkata demikian kepada Bernama selepas menghadiri majlis rumah terbuka sempena perayaan Tahun Baru Cina anjuran MCA Kepong di Jinjang malam tadi, ketika mengulas dakwaan Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bahawa pembahagian kerusi untuk Parlimen Kepong adalah tidak betul.

Isu itu timbul selepas Ketua Umno Kepong Datuk Rizuan Hamid menyokong cadangan memberikan kerusi tersebut kepada MCA berikutan peluang parti tersebut memperoleh undian lebih tinggi berbanding Gerakan.

Kerusi itu kini disandang Naib Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw.

Bagaimanapun, dipetik Bernama Dr Chua berkata beliau sangat menghargai kepercayaan dan keyakinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya Pengerusi BN itu memilih calon MCA untuk Parlimen Kepong pada pilihan raya akan datang.

Tiada ulasan: