Sabtu, 12 Februari 2011

MCA: Jangan kaitkan Hari Valentine dengan mana-mana agama

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung MCA yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha ketika diminta mengulas isu itu berkata Hari Valentine janganlah dikaitkan dengan mana-mana agama.

“Sambutan Hari Valentine ialah hanya untuk mengukuhkan hubungan dan bukan semestinya di kalangan pasangan muda tetapi juga yang telah berkahwin dan sudah lama berkahwin.

“Majlis makan malam Valentine diadakan di kawasan pilihan raya saya yang dianjurkan oleh pelbagai pertubuhan dan ia tidak ada kaitan dengan sebarang agama,” kata beliau (gambar) kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap perkhidmatan awam di Kuala Lumpur hari ini.

Dipetik Bernama, beliau juga menghapuskan keraguan bahawa dakwaan Hari Valentine sentiasa dikaitkan dengan aktiviti maksiat dan sambil menambah, kelakuan tidak bermoral berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Muhyiddin pula berkata nasihat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya orang ramai menjauhi acara bertemakan sambutan Hari Kekasih atau Hari Valentine Isnin ini, hanya ditujukan untuk masyarakat Islam.

Timbalan Perdana Menteri berharap isu ini tidak menimbulkan kekeliruan dan perasaan curiga antara kaum di negara ini kerana dari sudut Islam sambutan itu tidak sesuai diraikan oleh umat Islam.

Muhyiddin mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz semalam yang menasihatkan orang ramai khususnya yang beragama Islam supaya menjauhi sebarang acara atau majlis yang bertemakan sambutan Hari Kekasih bagi mengelakkan mereka terlibat dengan gejala maksiat.

Terdapat beberapa versi sejarah sambutan Hari Kekasih, termasuk yang dikaitkan dengan pesta sambutan Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia, kisah mubaligh Kristian Saint Valentine dan juga sempena musim mengawan burung pada 14 Februari.

Bersandarkan beberapa hujah yang jelas, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 2005 telah memutuskan bahawa sambutan Hari Kekasih adalah haram bagi seluruh umat Islam.

Wan Mohamad berkata Islam bukan agama yang menyekat atau menghalang untuk penganutnya meluahkan kasih sayang tetapi apa yang disekat adalah perbuatan maksiat yang dilakukan semasa menyatakan kasih sayang itu.

“Jika kita kasih pada orang, itu bukan maksiat tetapi kalau kita adakan hubungan diluar pernikahan, itu maksiat. Itu bezanya,” ujarnya.

Katanya beliau yakin bukan sahaja Islam, agama lain juga meletakkan batasan dan etika yang perlu penganutnya patuhi.

Tiada ulasan: