Sabtu, 12 Februari 2011

MCA didakwa sukarkan warga emas dapat angpau

Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH: Seorang warga emas yang kecewa, mendakwa MCA sengaja menyusahkan orang sepertinya daripada mendapat angpau pemberian Kerajaan Negeri Pahang sempena Tahun Baru Cina.

Fong Yuan, 76, yang ditemui Harakahdailyi berkata, beliau sehingga kini tidak menerima angpau tersebut walaupun ditempat lain wang bernilai RM150 itu sudah diagihkan.

Kata Fong, beliau melahirkan kekecewaannya kerana sebelum ini mendapat maklumat berkaitan pemberian angpau kepada warga emas berumur 70 tahun ke atas oleh kerajaan negeri yang disiarkan di akhbar-akhbar berbahasa Cina.

“Saya hairan kenapa MCA sengaja menyusahkan angpau yang sepatutnya diterima oleh warga emas seperti saya. Di tempat lain angpau RM150 itu sudah diterima tetapi di sini belum.

“Bayangkan saya sudah lima kali berulang-alik pergi untuk mendaftar nama di pejabat MCA Temerloh tetapi setiap kali pergi pejabat itu tutup

“Tarikh mengisi nama bermula 1 Januari hingga 21 Januari, sepanjang tarikh ini saya cuba mendaftar nama tetapi gagal,” katanya kepada Harakahdaily.

Kata Fong, pernah pada satu petang beliau pergi menemui Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Baru (JKKB) Temerloh, Tan Say Cheong di Bandar Baru Temerloh bagi bertanyakan mengapa dia masih gagal menerima angpau.

Malangnya beliau mendakwa tidak dilayan dengan sewajarnya sebaliknya ketua kampung itu meminta Fong meminta angpau daripada Adun Kuala Semantan (Adun PAS).

“Apabila saya marah dia bercakap begitu akhirnya dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Temerloh dan saya telah dipanggil dan diberikan nasihat oleh polis,” jelasnya.

Sehubungan itu Fong mahukan kerajaan negeri memberikan segera angpau kepada mereka yang terpilih dan tidak hanya pandai berjanji kepada warga tua sepertinya.

Tiada ulasan: