Ahad, 13 Februari 2011

MB Selangor : Masa Depan Pelajar Di Mesir Dibincang Selasa Ini

Ditulis oleh Edi Suleiman



PETALING JAYA : Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan bertemu dengan keluarga dan pelajar Selangor yang menuntut di Mesir pada Selasa depan bagi membincangkan mengenai masa depan mereka.

Tan Sri Khalid menganggap pertemuan itu penting bagi memastikan mereka tidak ketinggalan selain membolehkan mereka mendengar sendiri cadangan kerajaan Negeri Selangor dalam hal ini berikutan keadaan yang masih tidak jelas di negara itu.

"Pada 15hb ini saya akan jumpa dengan keluarga pelajar Selangor yang kembali ke tanah air untuk selesaikan masalah mereka dan terutama bagi memastikan mereka sentiasa bersedia dengan pelajaran dan kerjaya mereka," katanya.

Dianggarkan seramai 1,200 pelajar dari Selangor yang sedang belajar di beberapa universiti dan IPT di Mesir dan 600 daripadanya merupakan tajaan Lembaga Zakat Selangor.

Sebelum ini Kerajaan Negeri telah menawarkan kursus yang aseperti Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Komputer dan Kewangan yang memakan masa selama enam bulan hingga setahun di Universiti Selangor (Unisel) yang diberikan secara percuma selain yuran daftar kepada pelajar yang tergendala pelajarannya akibat konflik ini.

Semalam Naib Presiden Mesir, Omar Suleiman mengumumkan bahawa Hosni Mubarak telah melepaskan jawatannya sebagai presiden negara itu dan menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada pihak tentera.

Kelihatan jutaan para penunjuk perasaan telah bersorak gembira di jalan-jalan raya dan di Medan Tahrir iaitu pusat berkumpulnya rakyat Mesir sebaik sahaja berita mengenai perletakkan jawatan Hosni diumumkan.

Dua hari yang lalu, Hosni Mubarak masih ingin bertahan di kerusi presiden walaupun dia membuat pengumuman bahawa kuasa mentadbir telah diturunkan kepada naibnya. Namun begitu pengumuman tersebut masih tidak meredakan rakyat Mesir yang terus menerus mengadakan demonstrasi menuntut perletakkan jawatannya dengan segera.

Khalid berharap agar rakyat Mesir dapat mengecapi demokrasi dan keadaan aman di situ akan tiba secepat mungkin.

"Berhentinya Mubarak dari jadi Presiden Mesir merupakan langkah terbaik, tapi risiko masa depan Mesir masir kurang jelas, saya harap rakyat Mesir dapat menikmati demokrasi dalam masa terdekat," katanya.

Tiada ulasan: