Ahad, 27 Februari 2011

MB: Selangor dedah laporan kewangan GLC bulan depan

BERNAMA

SHAH ALAM – Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan mendedahkan laporan kedudukan kewangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dijadual berlangsung Mac ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata beliau akan menerangkan kedudukan sebenar kewangan GLC untuk tahun semasa dan cara akaun dibuat kepada setiap wakil rakyat pada persidangan itu.

“Saya akan dedahkan akaun GLC negeri (secara berperingkat) bermula persidangan DUN bulan Mac. Standard (laporan kewangan) serupa macam di PNB (Permodalan Nasional Berhad) dulu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Karate di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media hari ini yang memetik kenyataan Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Shukor Idrus yang menggesa Menteri Besar mendedahkan pendapatan, perbelanjaan serta tanggungan hutang sebenar GLC negeri setakat ini kepada rakyat.

Beliau berkata langkah itu perlu bagi melihat aliran dan prestasi kewangan serta nilai pertumbuhan pelaburan yang dicapai sejak kerajaan Pakatan Rakyat ambil alih pentadbiran Selangor pada Mac 2008.

Katanya mengikut prosedur, penyata kewangan GLC negeri Selangor mesti disiap dan diaudit dalam tempoh enam bulan selepas tahun berakhir 31 Disember.

Beliau juga mendakwa terdapat laporan kewangan GLC negeri itu yang tidak dikemas kini selama lima tahun sewaktu pentadbiran terdahulu.

Tiada ulasan: