Rabu, 2 Februari 2011

Malaysia tidak sekat penggunaan Internet

KENINGAU KINI

KENINGAU: Malaysia tidak menyekat penggunaan internet kerana ia merupakan negara yang membudayakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TIK) sebagai salah satu pemangkin pertumbuhan ekonomi di negara ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sempena Pelancaran Program Latihan TIK di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bingkor dekat sini pada Sabtu lepas.

Teks ucapannya dibacakan oleh Penolong Pegawai Daerah Keningau George Kandavu.

Walau bagaimanapun katanya, penggunaan internet terutama di kalangan generasi muda perlu diawasi agar ia tidak disalahgunakan.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata, terdapat segelintir orang yang bertindak menyalahgunakan perkhidmatan internet melalui laman web seperti facebook, friendster, myspace, twitter dan blog yang menjurus kepada hal-hal yang negatif.

“Laman Web tersebut seharusnya digunakan untuk kepentingan umum yang tidak menyalahi undang-undang dan Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 di bawah Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM),” katanya.

Pairin berkata kebebasan menggunakan internet untuk menjangkau dunia tanpa sempadan seharusnya tidak boleh disalahgunakan sehingga menganggu hubungan sejagat.

Dalam hal ini katanya, peranan ibu bapa bagi menyokong anak-anak mereka menjelajah dunia melalui internet amat penting bagi membolehkan mereka mengetahui peristiwa-peristiwa yang berlaku di seluruh dunia.

Namun katanya, perlu diingatkan bahawa keselamatan maklumat peribadi perlu diambil perhatian dan jangan mendedahkannya secara terbuka dalam internet.

Menurut Pairin, Program Latihan ICT yang akan diadakan di 28 buah sekolah di Sabah akan mendidik pelajar tentang isu-isu keselamatan, ancaman dan bahaya di dunia cyber.

Turut hadir Pengarah SKMM Wilayah Sabah dan Labuan, Bukhari Yahya, Timbalan Pengarah SKMM Sabah, Jusely Ellis, Pengetua SMK Bingkor, Hj Sahumin Hj Daud, Ketua Jabatan, guru-guru, ibu bapa dan pelajar sekolah itu

Tiada ulasan: