Jumaat, 18 Februari 2011

Maklumat perlu eksklusif kepada SPRM

Orang ramai kehilangan perlindungan sekiranya membuat aduan yang sama kepada pihak lain.


KUALA LUMPUR: Pemberi maklumat atau orang ramai yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 akan kehilangan perlindungan sekiranya membuat aduan yang sama kepada badan penguatkuasa lain.

Menurut Pengerusi Panel Penilaian Operasi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Hadenan Abdul Jalil, akta yang mula digunapakai sejak Disember tahun lalu memberi perlindungan menyeluruh kepada identiti pemberi maklumat.

Hadenan turut menasihatkan orang ramai agar memberi maklumat secara terus di mana-mana cawangan SPRM.

“Maklumat perlu eksklusif kepada SPRM, jika seseorang lapor dan hantar salinan laporan kepada Perdana Menteri atau pergi kepada media maka beliau tidak akan mendapat perlindungan tersebut.

“Bila ada maklumat sepatutnya terus melaporkan kepada SPRM. Akta baru ini kami perlu didik orang ramai malah kepada sektor awam juga,” katanya yang ditemui dalam sidang media di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini hari ini.

Namun Hadenan enggan mendedahkan angka pemberi maklumat kepada SPRM itu sebaliknya menekankan aspek keselamatan ke atas mereka yang memberi maklumat adalah terjamin.

Penyiasatan yang agresif

Sementara itu, menerusi prestasi keseluruhan badan itu pada tahun 2009/2010 SPRM mencatatkan 900 kes berjaya diisiapkan.

Peningkatan disebabkan penyiasatan yang agresif dan rapi oleh suruhanjaya terbabit.

Pada tahun 2009 sahaja 939 kes telah dibuka manakala berlaku sedikit peningkatan pada 2010 yang mencatatkan 1,220 kes.

“Kebanyakan kes dapat diselesaikan dengan lebih singkat untuk tempoh yang ditetapkan. Malah 78 peratus kes yang dibuka siap kurang dari enam bulan.

“Manakala 225 kes lagi dapat diselesaikan kurang sebulan. Ini kerana ia melibatkan kes-kes mudah yang ada pengakuan dan tertuduh mengaku bersalah, katanya.

Pada 2010 sahaja sebanyak 230 kes berdepan pertuduhan berbanding 2009 hanya membabitkan 43 kes sahaja.

Beliau berkata walaupun berlaku peningkatan bagi tahun 2010, namun corak maklumat yang diterima sama iaitu menerusi surat layang.

Katanya, maklumat yang diterima bagi kedua-dua tahun itu hampir sama iaitu 12,000 aduan dan 30 peratus daripadanya menerusi surat layang.

“Walaupun 30 peratus surat layang kami terima….20 peratus daripadanya ada nilai untuk dibuka. Bukan semua tidak bagus,” katanya.

Namun ketika ditanya mengenai pertuduhan kes di mahkamah membabitkan ‘jerung-jerung besar’ beliau enggan mengulas lanjut mengenai statistik.

Beliau sebaliknya menjelaskan, jika membabitkan pengurusan profesional, ia hanya 45 kes.

“Jerung tak jerung bukan masalah tapi wujud persepsi bahawa yang ditangkap jerung kecil. Itu persepsi lapuk. Laporan kami sahaja membabitkan empat ahli politik,” katanya.

Tiada ulasan: