Selasa, 1 Februari 2011

Lereng bukit runtuh

SINAR HARIAN ONLINE


KULAIJAYA – Dalam suasana hujan lebat di kawasan perumahan Fasa 12, Taman Sri Putri, di sini, penduduk Jalan Sri Putri 12/10 tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari luar kediaman mereka kira-kira jam 1 petang, kelmarin.

Salah seorang penduduk, Sakunthala, 56, berkata, beliau bergegas ke luar rumah setelah terdengar bunyi dentuman berkenaan dan terkejut mendapati lereng bukit di hadapan rumah jirannya runtuh tiba-tiba.

“Ketika itu hujan turun dengan lebat dan saya sedang memasak di dapur, kemudian tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat dari luar rumah.

“Saya segera ke hadapan rumah untuk meninjau apa yang berlaku... saya terkejut apabila mendapati lereng bukit di hadapan rumah kami runtuh,” katanya.

Sakunthala berkata, situasi yang berlaku menyebabkan penduduk setempat berada dalam ketakutan dan bimbang runtuhan sama berulang pada bila-bila masa berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

“Saya baru tinggal di sini kira-kira dua tahun lalu, namun menurut jiran berhampiran kejadian runtuhan seperti ini pernah berlaku di sini sebelum ini pada tahun 2005.

“Situasi yang berlaku menyebabkan saya sekeluarga tidak dapat tidur lena kerana bimbang runtuhan sama boleh berlaku pada sebelah malam berikutan cuaca hujan yang masih tidak henti-henti,” katanya.

Tiada ulasan: