Selasa, 8 Februari 2011

KWSP mahu Imigresen halang 248 pengarah ke luar Negara

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengemukakan nama 248 pengarah syarikat kepada Jabatan Imigresen bagi menahan mereka daripada meninggalkan negara sebelum menjelaskan tunggakan caruman pekerja masing-masing.

“Membayar caruman kepada KWSP adalah kewajipan majikan yang tidak boleh dipandang ringan dan kami tidak akan teragak-agak untuk mendakwa majikan yang tidak mencarum untuk simpanan persaraan pekerja mereka,” kata Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya KWSP pada suku keempat tahun lepas telah memfailkan 232 kes sivil dan 358 kes jenayah terhadap majikan yang tidak mencarum.

Dalam tempoh itu, 112 majikan telah didapati bersalah oleh mahkamah dan dikenakan denda berjumlah RM134,570 kerana tidak membayar caruman KWSP pekerja masing-masing.

Nik Affendi berkata majikan yang gagal mencarum biasanya diberi peluang membayar secara ansuran tunggakan mereka dan pembayaran dipantau oleh KWSP untuk memastikan ia selesai.

“Majikan sepatutnya tidak menganggap membayar caruman hanya sekadar mematuhi undang-undang tetapi ia adalah tanggungjawab mereka untuk memastikan pekerja bersara dengan selesa,” katanya

Tiada ulasan: