Sabtu, 12 Februari 2011

Kupon RM30 : SJK(T) Terima Bantuan Kerajaan Selangor

TVS NEWS


SIJANGKANG: Fasa kedua penyerahan kupon-kupon yuran pendidikan kepada pelajar miskin disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi.

Di bawah program Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar hari ini menyaksikan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Telok Panglima Garang dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Jenjarom menerima bantuan tersebut.

Dalam ucapannya Yunus memberitahu, peruntukan RM4 juta oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk pembangunan sekolah Tamil membuktikan komitmen kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat bagi menyediakan pembangunan pendidikan terbaik sejajar dengan tema belanjawan negeri ‘hasil negeri untuk rakyat’.

"Untuk SJK(T) Telok Panglima Garang seramai 104 orang penerima kupon yuran pendidikan ini dan di SJK(T) Jenjarom ada 77 pelajar yang akan menerima. Jadi saya kira pada hari ini sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Cina dan sekolah juga sekolah rendah agama telah merasa nikmat hasil negeri yang telah diberikan dalam bentuk bantuan keperluan pendidikan juga infrastruktur pembaikpulihan sekolah,"ujarnya sebelum majlis penyerahan bermula.

Yunus juga menjelaskan dengan adanya inisiatif daripada kerajaan ini, maka lebih ramai rakyat akan merasa hasil negeri dan setidaknya meringankan beban ibu bapa pelajar yang kurang berkemampuan.

"Jadi saya kira dengan inisiatif ini lebih ramai lagi rakyat di negeri Selangor ini dapat menikmati hasil negeri yang mereka dapat rasai," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PIBG SJK(T) Telok Panglima Garang), Mutusamy Subramaniam mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyumbangkan RM50 ribu untuk keperluan sekolah tersebut.

Beliau juga berbesar hati atas keprihatinan yang ditonjolkan oleh pemimpin kerajaan negeri, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam membela nasib rakyat di Selangor ini.

"Saya sungguh gembira, bagi pihak PIBG saya mengambil begitu berterima kasih kepada Menteri Besar Selangor, di mana begitu bermesra dengan masyarakat India di seluruh Selangor dan juga di Kuala Langat.

"Saya juga ingin ambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr Yunus dimana setiap kali dia datang ke sekolah kami dia tetap akan memberi sumbangan untuk kejayaan sekolah kami," ujarnya kepada Tv Selangor siang tadi.

Menerusi bantuan ini, setiap pelajar yang tersenarai, menerima kupon yuran bantuan sejumlah RM30 untuk mengurangkan beban keluarga pelajar yang rata-ratanya hadir dari kalangan mereka yang berpendapatan rendah.

Tiada ulasan: