Selasa, 8 Februari 2011

Krisis Mesir: Perkasa mahu kerajaan sedia dana bagi penuntut tahun pertama

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini meminta kerajaan mempertimbangkan memberi pinjaman atau biasiswa kepada penuntut tahun pertama negara di Mesir yang mungkin terpaksa mengulang sekiranya tidak dapat mengambil peperiksaan pada tahun akademik ini.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata ramai penuntut Malaysia di Mesir dibiayai oleh ibu bapa yang kebanyakannya datang dari keluarga miskin pada tahun pertama dan hanya dijanjikan layak memohon biasiswa atau pinjaman jika lulus ke pengajian tahun dua.

“Jika peperiksaan tergendala, maka untuk tahun ke dua, ibu bapa terpaksa membiayai kos anak masing-masing yang belajar di Mesir,” katanya dalam satu mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas berkata maklumat itu diperoleh daripada ibu bapa pelajar yang menuntut di Mesir dan meminta kerajaan mengambil perhatian perkara ini.

Lebih 7,200 penuntut dan warga Malaysia berjaya dibawa keluar dari beberapa bandar di Mesir ke Jeddah, Arab Saudi menerusi Ops Piramid.

Ia adalah operasi membawa warga Malaysia keluar dari Mesir yang sedang bergolak akibat tunjuk perasaan ratusan ribu rakyat negara itu yang mendesak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan.

Ibrahim juga berkata amat wajar seluruh rakyat Malaysia, terutamanya umat Islam dan ibu bapa yang menjadi penyokong pakatan Parti Keadilan Rakyat (PKR)-PAS-DAP mengucapkan syukur kerana kerajaan bertindak pantas membawa keluar para pelajar dari bumi bergolak itu.

Beliau berkata walaupun tidak mudah, Ops Piramid yang dibiayai sepenuhnya kerajaan pusat tanpa mengira kecenderungan politik, dapat dilaksanakan.

“Jika ada yang tuduh ini tindakan cari untung politik, biar mereka tuduh. Jika usaha itu baik dan mulia, yang membawa pujian rakyat kepada pemimpin negara, baguslah... inilah yang dikatakan tanggungjawab politik dan kepimpinan,” katanya.

Tiada ulasan: