Selasa, 8 Februari 2011

Khusrin: Saya hanya ikut arahan, biarlah saya diam diri



Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (kanan) mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohamad Khusrin Munawi di pejabatnya pada 7 Februari, 2011. — Foto Bernama
KUALA LUMPUR — Datuk Mohd Khusrin Munawi berharap pertemuan formal julung kali dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim petang semalam dapat membawa satu perubahan dalam menjalankan tugasnya selaku Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Selain itu, Khusrin juga berharap agar dengan pertemuan itu — yang dilihat mengakhiri kemelut berkisar pelantikannya lebih sebulan lalu — akan membolehkan beliau menjalankan tugas dengan lebih baik.

“Insya-Allah, saya harap boleh jalankan tugas dengan baik selepas ini,” kata beliau.

“Mengenai pertemuan semalam, biarlah Menteri Besar yang keluarkan kenyataan, saya hanya ikut arahan,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider pagi tadi.

Ketika diminta mengulas pertemuan semalam, Khusrin hanya mengambil pendekatan berdiam diri demi “menjaga” hubungan dengan Khalid yang dilihat sudah semakin pulih.

“Saya tidak mahu komen apa-apa, kalau mahu apa-apa dapatkan Menteri Besar,” kata Khusrin.

“Biarlah saya diamkan diri, saya hanya jalankan tugas dan saya harap anda faham,” kata bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor itu (Jais).

Beliau juga enggan memberikan komen mengenai majlis angkat sumpah simpan rahsia di hadapan Menteri Besar.

Semalam Khalid telah mengadakan pertemuan dengan Khusrin demi memastikan keperluan rakyat Selangor diutamakan dan pentadbiran negeri terus berjalan dengan lancar.

Pertemuan itu sekali gus dilihat mengakhiri kelemut berlarutan lebih sebulan lalu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan sejurus selepas pertemuan mereka semalam, Pejabat Menteri Besar berkata pertemuan itu diadakan demi memastikan keperluan rakyat Selangor diutamakan dan pentadbiran negeri terus berjalan dengan lancar.

“Walaupun kerajaan negeri masih berpendirian bahawa Sultan dan Menteri Besar seharusnya berperanan dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, pertemuan ini diadakan demi memastikan keperluan rakyat Selangor diutamakan dan pentadbiran negeri terus berjalan dengan lancar,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata pada pertemuan tersebut, Menteri Besar mengarahkan Khusrin agar memberi keutamaan kepada hartanah milik kerajaan Selangor, terutamanya yang terbiar dan bermasalah.

“Menteri Besar telah memberitahu Khusrin bahawa beliau perlu bekerjasama dengan pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan hartanah milikan Kerajaan Selangor ini dijaga dengan baik,” katanya.

Khalid juga menyarankan supaya Khusrin mengadakan perjumpaan atau dialog dengan penduduk setinggan yang mendiami tanah milik kerajaan Selangor dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Khusrin dilantik ke jawatan itu berkuat kuasa 1 Januari lalu, yang pengumumannya dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Sidek Hassan 27 Disember.

Pelantikan itu membawa kepada krisis perlembagaan termasuk usaha kerajaan negeri meminda Artikel 52(1) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa kepada Sultan dan Menteri Besar dalam urusan melantik tiga jawatan tertinggi negeri iaitu SUK, penasihat undang-undang dan pegawai kewangan negeri.

Bagaimanapun usaha itu gagal kerana tidak cukup undi majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri.

Tiada ulasan: