Ahad, 13 Februari 2011

Ketua UMNO beri maklum balas

Oleh Mohd Azis Ngah dan Syed Azwan Syed Ali

  NAJIB   bersalaman dengan Ketua UMNO Bahagian Serdang, Datuk Mohd Fathil Daud selepas menamatkan sesi pertemuan Ketua-Ketua UMNO Bahagian   di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.

NAJIB bersalaman dengan Ketua UMNO Bahagian Serdang, Datuk Mohd Fathil Daud selepas menamatkan sesi pertemuan Ketua-Ketua UMNO Bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.

Najib duduk lima jam dengar masalah, terima permohonan projek rakyat

KUALA LUMPUR: Sesi pertemuan khas bersama 118 Ketua Bahagian UMNO bukan Ahli Parlimen semalam disifatkan Datuk Seri Najib Razak sebagai sangat berguna untuk mendapatkan maklum balas bagi membolehkannya menentukan hala tuju dan tindakan seterusnya demi kepentingan rakyat.
Walaupun mengakui sesi itu mengambil masa sangat lama, Presiden UMNO cukup berpuas hati dengan hasil pertemuan dengan pemimpin peringkat bahagian yang disifatkannya sebagai sebahagian daripada transformasi politik.

Katanya, peluang itu digunakan sepenuhnya untuk mendengar sendiri perjalanan, pengurusan kepemimpinan di peringkat bahagian serta permasalahan dihadapi, sekali gus memberikan beliau banyak input berguna untuk membela nasib rakyat.

“Sesi ini sangat berguna walaupun ambil masa sangat panjang. Saya duduk di kerusi sejak 8.30 pagi hingga 1.30 tengah hari, tak bergerak.

“Tetapi ia sangat berfaedah kerana saya dan Setiausaha Agung (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) dapat dengar pandangan mereka mengenai rintihan dan keperluan rakyat,” katanya pada sidang media ketika sesi dihentikan sementara tengah hari semalam.

Semalam, 118 daripada 191 Ketua Bahagian UMNO, terdiri daripada pemimpin bukan Ahli Parlimen, Menteri, Timbalan Menteri diberi peluang bersemuka dengan Najib dalam sesi khas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sesi bermula dengan rombongan Kedah memasuki bilik pertemuan diikuti pemimpin negeri dikuasai pembangkang iaitu Pulau Pinang, Kelantan, Selangor, Wilayah Persekutuan dan seterusnya wakil negeri lain di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini, program sama diadakan khas untuk semua Ahli Parlimen BN dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak dengan tujuan sama.

Pertemuan itu menguatkan lagi spekulasi Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin dekat tetapi semalam, Najib secara berseloroh mengatakan ‘jangan tanya saya bila tarikh pilihan raya’.

Difahamkan, dalam tempoh terdekat, satu lagi sesi pertemuan akan diadakan tetapi kali ini membabitkan semua ADUN BN bagi mendapatkan maklum balas sama.

“Transformasi politik Ini adalah antara agenda utama BN dan UMNO. Kali ini giliran mereka dapat peluang nyatakan permasalahan dihadapi yang boleh digunakan untuk membantu usaha kita membela nasib rakyat.

“Daripada sesi itu, kita boleh tentukan tindakan yang boleh diambil untuk selesaikan masalah atau isu berkaitan,” katanya.

Ditanya jenis permasalahan atau isu paling banyak diutarakan, Najib menjelaskan ia membabitkan banyak isu seperti soal projek kecil, kemudahan asas termasuk ada yang memohon pembangunan hospital dan sekolah di kawasan masing-masing.

Katanya, semua maklumat itu termasuk beberapa memorandum yang diserahkan akan direkodkan sebelum ditapis untuk diselesaikan dalam jangka pendek manakala isu yang memerlukan proses jangka panjang akan diselesaikan berperingkat.

Katanya, kerajaan tidak boleh menyelesaikan semua isu secara serentak akibat masalah peruntukan kewangan tetapi pihaknya akan mengutamakan keperluan membabitkan kehendak serta kepuasan rakyat.

Mengenai permasalahan dalaman peringkat negeri dan bahagian yang masih berlaku di beberapa bahagian, Najib berkata, perkara itu juga ada dibincangkan dan beliau sendiri sudah memberi nasihat mengenai apa yang perlu dilakukan.

“Di mana-mana pun ada masalah dalaman, tetapi parti kita taklah rapuh seperti parti lain... tak ada orang UMNO yang tinggalkan (keluar) parti. Kita cuba betulkan perselisihan faham antara mereka, realitinya kita memang tak boleh selesaikan 100 peratus. Sekurang-kurangnya kita boleh redakan keadaan,” katanya.

Tiada ulasan: