Selasa, 22 Februari 2011

Kes Teoh: Suruhanjaya arah analisis SMS telefon Teoh

BERNAMA

KUALA LUMPUR– Suruhanjaya Siasatan bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini memutuskan untuk menyerahkan telefon bimbit dan kad sim milik setiausaha politik exco Selangor itu kepada penyiasat persendirian bagi siasatan lanjut.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, yang mempengerusikan suruhanjaya itu, turut meminta beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) berbahasa Cina diterjemah bagi mengetahui isi kandungannya.

Beliau pada awalnya kelihatan terkejut dengan penjelasan pegawai pengendali, Timbalan Pendakwa Raya Kwan Li Sa bahawa sebelum ini (prosiding inkues), tiada pihak yang meminta penjelasan mengenai isi kandungan SMS itu walaupun terdapat beberapa data penting.

Penyerahan telefon dan kad sim itu juga bertujuan mendapatkan data penting lain termasuk bila ia dimatikan dan dihidupkan kembali kerana timbul persoalan siapa yang membuka dan membaca SMS Teoh selepas beliau meninggal dunia.

Pendedahan mengenai SMS itu ditimbulkan oleh peguam mewakili Majlis Peguam Christopher Leong yang mendapati rekod SMS milik Teoh telah dibaca pada 16 Julai 2009 dan seseorang berkemungkinan bertindak mematikan telefon bimbit selepas itu kerana SMS pada 17 Julai 2009 masih berstatus ‘‘unread’’ (belum dibaca).

Selain itu, suruhanjaya itu juga memerlukan maklumat lebih terperinci mengenai data yang telah dipadamkan daripada telefon itu kerana sehingga kini pihak forensik yang menyiasat telefon tersebut gagal memperoleh sebarang maklumat.

Dalam prosiding hari ini, pegawai penyiasat Seksyen Jenayah Komputer Inspektor Mohd Zaidi Abu Hassan memberitahu bahawa beliau gagal mendapatkan maklumat yang dibangkitkan suruhanjaya kerana peralatan yang digunakan di makmal polis tidak dapat mengesannya.

Bagaimanapun beliau mengesahkan bahawa telefon bimbit Teoh berada dalam keadaan ‘‘off’’ ketika menerimanya untuk siasatan dan tiada sebarang kata kunci untuk membukanya.

Pada prosiding inkues lepas seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu bahawa telefon Teoh telah diserahkan kepada Teoh sejurus selesai sesi merakam percakapannya dan seorang pegawai SPRM menjumpai telefon itu bersama dengan beg sandangnya di atas sofa.

Ekoran gagal menemui Teoh, pegawai SPRM terbabit bertindak menyimpannya sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Sementara itu, pegawai penyiasat DSP Sharul Othman Mansor yang turut memberi keterangan berkata beliau memeriksa tempat kejadian untuk kali kedua kerana mendapat arahan daripada pihak atasan yang tidak berpuas hati dengan siasatan sebelum itu.

Katanya peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh telah memintanya melakukan siasatan di beberapa tempat termasuk di meja Ping Pong dan pantr Tingkat 14 di Pejabat SPRM tetapi tiada sebarang kesan ditemui.

Mengenai kesan tapak kasut yang dijumpai di bawah bingkai tingkap, Sharul berkata beliau tidak dapat mengesahkan saiz kasut yang digunakan kerana ia samar-samar.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Selain Foong, suruhanjaya ini juga dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 26 Januari lepas, antara lain bagi menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat ‘‘keputusan terbuka’’ berhubung kes itu.

Prosiding disambung esok.

Tiada ulasan: