Khamis, 10 Februari 2011

Kes Teoh: Senarai saksi suruhanjaya diketahui Isnin

TERKINI

KUALA LUMPUR – Senarai saksi yang akan dipanggil oleh suruhanjaya diraja untuk membantu siasatan berhubung kes kematian Teoh Beng Hock hanya akan diketahui Isnin ini, kata setiausahanya hari ini.

Gobind Singh Deo (gambar), peguam keluarga Teoh, memberitahu bahawa beliau difahamkan senarai saksi hanya akan diberikan sebelum siasatan bermula Isnin ini.

“Semuanya pada hari Isnin ini,” kata Datuk Saripuddin Kasim kepada pemberita.

Terdahulu satu pertemuan membabitkan anggota suruhanjaya, peguam bagi kerajaan negeri Selangor Malik Imtiaz Sarwar, keluarga Teoh Karpal Singh dan Gobind, wakil Jabatan Peguam Negara, adik Teoh Lee Lan diadakan hari ini.

Suruhanjaya itu akan memulakan siasatan Isnin ini.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, Saripuddin memberitahu bahawa suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh bersedia menjalankan prosiding Isnin ini dan segala kelengkapan telah disediakan.

Beliau berkata suruhanjaya yang bersidang bersama lima anggota diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen itu berpuas hati dengan bilik mahkamah yang disediakan setelah meninjau sendiri keadaan dalam mahkamah itu.

Katanya bilik mahkamah tersebut mampu memuatkan seramai 52 orang dan keutamaan akan diberi kepada pihak media serta anggota keluarga sahaja.

Saripuddin berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat kali kedua suruhanjaya berkenaan, yang ditubuhkan pada 26 Januari lepas, di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.

Dalam mesyuarat ini, Saripuddin berkata anggota suruhanjaya diberi penerangan oleh pegawai pengendali mengenai perkembangan persediaan bagi menjalankan prosiding dan sehingga kini kesemua yang terlibat berpuas hati.

Tiada ulasan: