Rabu, 9 Februari 2011

Kes Sosilawati: Keputusan rayuan, semakan kehakiman dua pekerja ladang 21 Feb

BERNAMA

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 21 Februari ini untuk keputusan rayuan dan semakan kehakiman terhadap dua pekerja ladang yang dihukum penjara tujuh tahun kerana melupuskan bahan bukti dalam pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menetapkan tarikh itu kerana memerlukan masa untuk meneliti hujahan dan nas undang-undang dikemukakan oleh kedua-dua pihak yang terlibat dalam permohonan itu.

K. Sarawanan, 20, dan U. Suresh, 27, dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, di sini, selepas mengaku salah melupuskan bahan bukti pembunuhan Sosilawati dan tiga individu lain yang didakwa hilang bersamanya.

Sosilawati, 47, hilang bersama pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorisham Mohamad, 38, peguam Ahmad kamal Abdul Karim, 32, dan pemandu Kamaruddin Shamsuddin, 44, selepas dilaporkan menuju ke Banting untuk berjumpa seorang peguam bagi berbincang urusan jual beli tanah.

Pada 15 Oktober lalu, Majistret Hurman Hussain menjatuhkan hukuman penjara terhadap Sarawanan yang mengaku bersalah atas tuduhan membakar mayat mangsa, manakala pengakuan Suresh direkodkan bagi kesalahan membuang abu mayat ke dalam Sungai Panchau.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainudin memohon supaya mahkamah mengekalkan hukuman yang dibuat oleh Mahkamah Majistret itu atas alasan keputusan itu adalah betul berdasarkan fakta dan peruntukan undang-undang.

"Prinsip satu transaksi dan prinsip keseluruhan bukanlah sesuatu yang mutlak apatah lagi di dalam kes ini melibatkan pembunuhan kejam terhadap empat individu yang tidak berdosa di mana mereka dibunuh, mayat mereka dibakar sehingga menjadi abu.

"Tertuduh bagi memastikan ketiadaan kesan ke atas perbuatan rakan mereka, telah menghapuskan bukti dengan membuang abu mayat ke dalam Sungai Panchau bagi menggagalkan siasatan polis," katanya.

Pihak pendakwaan turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff dan Idham Abd Ghani, sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam A.S Dhaliwal.

Sementara itu, Dhaliwal memohon kepada mahkamah agar pengakuan salah tertuduh diketepikan dan tertuduh dianggap sebagai tidak bersalah sehingga kes tersebut dipulangkan semula ke Mahkamah Majistret.

Tiada ulasan: