Rabu, 2 Februari 2011

Kerosakan Jalan Persekutuan Di Selatan Tidak Seteruk 2006

BERNAMA

MELAKA: Kerosakan jalan persekutuan di tiga buah negeri di selatan akibat bencana banjir dijangka tidak seteruk ketika kejadian 2006.

Bagaimanapun kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Selia Group Amli Taib, penilaian terakhir akan dibuat selepas keadaan banjir pulih sepenuhnya.

Setakat ini, kami mengenal pasti lima kawasan paling teruk mengalami kerosakan iaitu di Bahau dan Gemas di Negeri Sembilan, serta Segamat, Kluang dan Kota Tinggi di Johor, katanya kepada pemberita, di sini, Selasa.

Syarikat itu yang bertanggungjawab menyelenggara jalan persekutuan di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor membelanjakan antara RM30 dan RM40 juta ketika bencana banjir melanda selatan tanah air pada 2006, katanya.

Beliau berkata buat masa ini syarikat itu melakukan kerja-kerja baik pulih sementara di jalan yang rosak teruk bagi memudahkan pengguna.

Amli juga meminta mereka yang ingin membuat aduan kerosakan jalan persekutuan agar menghubungi talian 06-2318140 atau layari laman web www.selia.com.my:81/adu2/ untuk aduan secara talian.

Selia Group melalui anak syarikatnya Selia Selenggara Selatan Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada 10 Disember 1999 bertanggungjawab menyelenggara 4,000 km jalan persekutuan di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Sementara itu mengulas perkara berkaitan, Amli berkata syarikat tersebut memperuntukkan RM100,000 untuk membantu mangsa banjir di ketiga-tiga negeri terbabit.

Selain itu syarikat turut menggerakkan lebih 100 tenaga kerjanya untuk membantu mangsa banjir membersihkan rumah, katanya yang ditemui selepas penyampaian bantuan banjir oleh syarikat terbabit di sini.

Tiada ulasan: