Rabu, 9 Februari 2011

Kerajaan Selangor Ambil Inisiatif Sedia Kursus Untuk Pelajar Mesir

TVS NEWS


SHAH ALAM : Kerajaan Negeri Selangor mengambil inisiatif menyediakan kursus kepada pelajar-pelajar Mesir yang berasal dari Selangor sementara menunggu pergolakan yang berlaku di Mesir berakhir.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, ini merupakan langkah kerajaan negeri bagi memastikan pelajar dapat memanfaatkan masa menunggu dengan
sebaik mungkin.

"Inisiatif ini membolehkan pelajar memanfaatkan masa menunggu untuk kembali ke Mesir dengan melakukan perkara bermanfat termasuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan ianya berjalan lancar dan efektif.

Keutamaan diberikan kepada pelajar yang berada di bawah tajaan kerajaan negeri menerusi Lembaga Zakat Selangor yang dianggarkan seramai 600 orang.

Dianggarkan terdapat kira-kira 1,200 pelajar dari Selangor yang sedang mengikuti pengajian di beberapa universiti dan IPT di Mesir.

"Kursus ini akan diadakan untuk tempoh enam bulan sehingga setahun di Universiti Industri Selangor (UNISEL) di kampus Shah Alam dan Bestari Jaya. Kursus diberikan secara percuma dan pelajar berminat hanya perlu membayar yuran pendaftaran," katanya.

Kerajaan Negeri sedang membuat persediaan rapi agar kursus ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

Kursus yang ditawarkan dapat meningkatkan pemahaman seperti Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Komputer dan Kewangan.

Tiada ulasan: