Ahad, 6 Februari 2011

Kerajaan negeri Kedah sedang mengesan kedudukan 113 pelajar di Mesir

BERNAMA

ALOR SETAR - Seramai 113 pelajar dari Kedah yang menuntut di Mesir ketika ini tidak diketahui kedudukan mereka sama ada sudah pulang ke Malaysia atau masih berada di negara itu atau di negara lain.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul berkata, pelajar yang tidak diketahui status itu, diminta melaporkan kepada Kedutaan Malaysia mahupun Yayasan Negeri atau jabatan agama yang menaja pelajar sama ada sudah pulang ke negara ini atau bekerja di negara lain pada cuti semester ini.

Menurut beliau jumlah pelajar Kedah yang menuntut di Mesir adalah 1,016 orang - 574 lelaki dan 442 perempuan.

"Daripada jumlah itu hanya 886 pelajar kita di bawah tajaan Yayasan Islam Negeri Kedah, Jabatan Agama Islam Kedah dan persendirian akan dibawa pulang ke negara ini manakala 17 pelajar yang kini berada di Iskandariah enggan pulang manakala 113 lagi tidak diketahui status mereka.Ada pelajar yang enggan pulang disebabkan masalah kos pengangkutan yang akan ditanggung mereka sendiri untuk ke sana semula selepas pergolakan di Mesir sekarang tamat.

"Ada juga yang tidak mahu menangguhkan sesi pelajaran kerana mereka ada dalam kelas pemulihan," katanya.

Tiada ulasan: