Ahad, 6 Februari 2011

Keputusan dipertikai

SINAR HARIAN ONLINE



SHAH ALAM – Keputusan Kerajaan Negeri mahu membiayai kos perundangan Shuhaimi Shafiei yang akan didakwa esok Akta Hasutan 1948 membuktikan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat menyokong sikap biadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda itu terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin iIdris Shah.

Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, Kerajaan Negeri sepatutnya tidak terlibat dengan mana-mana pemimpin yang bersikap biadab dan menderhaka kepada Sultan Selangor seperti yang dilakukan Suhaimi menerusi tulisannya dalam blog beliau.

“Rakyat boleh mempersoalkan kewajaran keputusan Kerajaan Negeri itu yang sepatutnya tidak terlibat dalam kes menjurus kepada individu tertentu. Seolah-olah apa yang dibuat Shuhaimi telah dirancang dan Kerajaan Negeri bantu Shuhaimi kerana rasa bersalah apabila ADUN Sri Muda itu diambil tindakan.

“Kalau Kerajaan Negeri tidak terlibat dengan apa yang Shuhaimi buat, tiada sebab Kerajaan Negeri mesti mempertahankan Shuhaimi. Kalau tidak ada motif, kenapa Kerajaan Negeri menggunakan duit rakyat semata-mata untuk pertahankan Shuhaimi,” katanya.

Kelmarin Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan berkata, Kerajaan Negeri akan memberi sokongan penuh kepada Shuhaimi dan membayar kos perundangannya di mahkamah Sesyen.

Suhaimi yang juga Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Raja akan dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan berhubung satu entri dalam blognya yang didakwa telah menghina Sultan Selangor.

Sementara itu Noh berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) sentiasa cuba menegakkan benang yang basah dan menafikan keadilan terutamanya berhubung kes kematian Teoh Beng Hock, A Kugan dan Aminulrashid.

“Kes berkaitan Teo Beng Hock, kerajaan sudah lantik inkueus, kemudian Suruhanjaya Diraja, kes Aminurashid pula kerajaan sudah mengambil tindakan mahkamah. Ini menunjukkan kerajaan sentiasa mengambil tindakan terhadap apa juga kes yang berlaku.

“Tindakan mempertikaikan pihak berkuasa menunjukkan Kerajaan Negeri sengaja mempertahankan sesuatu untuk mengaburi mata rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: