Rabu, 23 Februari 2011

Keluarga ucap terima kasih, bantu cari pelajar hilang

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Keluarga calon Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Malaya (UM) Masturah Abu Bakar yang hilang 19 Februari lalu sebelum dijumpai semula 30 jam kemudian, merakam setinggi penghargaan kepada semua pihak yang membantu dalam operasi mencari ahli keluarga mereka itu.

Ibu Masturah, Mariam Abdul Rashid berkata, beliau amat menghargai usaha yang dilakukan rakan-rakan Masturah di UM dan individu-individu lain sehingga Masturah ditemui kembali.

“Saya mengucapkan terima kasih tak terhingga kepada Persatuan Mahasiswa Islam UM dan siswa-siswi UM serta individu dan organisasi yang terlibat mencari anak saya tempoh hari," kata beliau kepada Harakahdaily.

Menurutnya, usaha yang dibuat bagi menemui Masturah ialah operasi mencari, bacaan yasin dan solat hajat sehingga Masturah ditemui di sebuah masjid di Bangi dalam keadaan selamat.

Mengulas hal yang sama, bapa Masturah, Wan Mustafa Wan Abdul Razak yang ditemui menjelaskan bahawa pihak mereka telah menubuhkan Sekretariat Menjejaki Kehilangan Pelajar UM yang diketuai oleh beliau sendiri.

“Sekretariat ini dianggotai oleh Ketua Unit Keselamatan Perumahan Pantai Permai, Komander Unit Amal Lembah Pantai, Pengerusi Surau Nur Hidayah Perumahan Pantai Permai serta dibantu mahasiswa-mahasiswa UM yang tinggal berhampiran Pantai Permai,” jelas beliau.

Menurut Mustafa lagi, antara peranan sekretariat ini ialah untuk membantu dan menyelaras operasi mencari Masturah bermula dari petang kehilangan sehinggalah ketika Masturah tersebut dijumpai.

Sekretariat juga turut memberikan bantuan dan kerjasama kepada pihak polis yang datang ke lokasi kejadian untuk menjejaki Mastura.

Pihak Sekretariat turut mendapat kerjasama dari beberapa pengamal perubatan Islam untuk mencari lokasi kehilangan Mastura.

Masturah yang bertanding kerusi umum menang dalam pilihan raya kampus yang berlangsung semalam.

Tiada ulasan: