Rabu, 23 Februari 2011

Kejayaan PR Tadbir Tiga Tahun Selangor Akan Disambut 8 Mac Depan

TVS NEWS


SHAH ALAM : Kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat dalam mentadbir Selangor selama 3 tahun akan dikongsi bersama rakyat dalam sambutan sederhana yang akan diadakan pada 8 Mac depan, sekaligus bagi memperingati detik bersejarah itu.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Kerajaan Pakatan Rakyat sentiasa komited dalam memastikan pentadbiran di bawah kelolaannya berjaya dilaksanakan mengikut dasar-dasar yang ditetapkan.

"Ulang tahun ketiga ini, selain daripada terus mentadbir dengan lebih bertanggungjawab dan telus, fokus Kerajaan Negeri adalah lebih kepada memastikan implementasi dasar-dasar dan program yang telah kita rangka," katanya.

Majlis sambutan ini diadakan dalam suasana yang sederhana tetapi bersifat informasi agar rakyat peka dan memahami tentang dasar-dasar program kebajikan yang memberi manfaat kepada mereka.

Pelbagai acara disediakan untuk orang ramai seperti pameran agensi kerajaan dan swasta, program remaja termasuk futsal, ceramah perdana oleh tokoh-tokoh terkenal termasuk barisan pemimpin Negeri, solat Maghrib Berjamaah dan pelancaran Buku Jingga yang mengandungi Dasar Bersama dan komitmen Pakatan Rakyat untuk membawa pembaharuan kepada negara dan rakyat.

Majlis sambutan ini akan dimulakan Majlis Sambutan Tiga Tahun Pentadbiran Negeri Selangor di Stadium Melawati selama dua hari bermula 5 dan 6 Mac.

Tambah Khalid, pada 26 Mac pula, Kerajaan Negeri akan melancarkan rangka kerja "Selangor Untuk Rakyat" yang membabitkan pameran PBT dan anak syarikat, pelancaran buku "Liku-Liku Reformasi" serta program seni seperti membaca sajak dan puisi.

Menurut beliau lagi, pada Mac ini juga kerajaan Negeri akan mengadakan Siri Jelajah seluruh Selangor bagi mendengar permasalahan rakyat.

"Kita juga akan menganjurkan Siri Jelajah seluruh Selangor yang melibatkan Menteri Besar, barisan Exco dan pegawai kanan kerajaan turun turun padang ke pejabat daerah untuk bulan Mac ini."

Beliau berkata demikian di Bilik Media, Tingkat 20, Bangunan Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah selepas mesyuarat exco hari ini.

Tiada ulasan: