Selasa, 8 Februari 2011

Kecewa polisi BN, tokoh pendidikan Tamil sertai KEADILAN

Sidiqin Omar

Ponmugam (dua dari kanan) menyerahkan borang keahlian kepada Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali

PETALING JAYA: Walaupun telah merdeka sejak 53 tahun, Malaysia masih gagal melahirkan masyarakat yang seimbang dan harmoni disebabkan polisi salah dan pincang yang diamalkan kerajaan Barisan Nasional (BN), kata tokoh pendidikan Tamil, bekas wartawan dan juga peguam, Ponmugam Ponnan.

Ponmugam berkata demikian sewaktu menyerahkan borang keahliannya kepada Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali dalam satu majlis ringkas di Ibu Pejabat KEADILAN di Tropicana, hari ini.

Turut hadir sama, Naib Presiden, N Surendran, Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin dan Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty.

Ponmugam sebelum ini bertugas sebagai penterjemah di Jabatan Penerangan dan pernah menerbitkan dua buku yang menyentuh permasalahan kaum India di Malaysia.

Beliau yang berpengalaman sebagai pembantu editor di akhbar Tamil Nesan pernah dipenjarakan akibat tulisannya yang melaporkan tentang darurat di Kuala Lumpur.

“Pemahaman politik yang sempit mengakibatkan kaum minoriti diabaikan secara ekonomi, pendidikan dan budaya. Malah, polisi yang dibuat kerajaan Barisan Nasional ini menggalakkan amalan yang tidak beretika,” kata Ponmugam.

Tambahnya lagi, beliau percaya KEADILAN adalah wadah terbaik memperjuangkan agenda kemakmuran hidup rakyat merentasi warna kulit.

“KEADILAN adalah sebuah parti yang ditubuhkan di atas prinsip semua kaum diberi peluang yang sama termasuk pekerjaan, perniagaan dan pendidikan.

“Saya sertai KEADILAN dengan kepercayaan bahawa bersama pimpinan parti serta anggotanya, saya mampu bekerja untuk kebaikan semua, menyemai persefahaman dan membina persekitaran yang aman, makmur serta hormat menghormati.

“Dalam konteks ini, saya akan bekerja keras untuk komuniti India, dan saya bangga dengan pimpinan Pakatan Rakyat,” kata Ponmugam dalam satu kenyataan selepas mengumumkan penyertaannya ke dalam KEADILAN.

Tiada ulasan: