Rabu, 23 Februari 2011

Kampung Kebun Bunga dibangun lebih sistematik

SELANGOR KINI



SHAH ALAM – Kampung Kebun Bunga akan menikmati pembangunan yang lebih sistematik dan tersusun bersesuaian dengan kedudukannya yang terletak di dalam bandar raya Shah Alam.

Kerajaan Negeri menyedari kampung tersebut tidak harus dipinggirkan dan pembangunannya harus seiring dengan arus pemodenan masa kini.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail ketika melawat kampung itu hari ini berkata, kerajaan negeri merancang pembangunan kampung itu bersesuaian dengan kedudukannya di dalam bandar raya serta keselesaan penduduknya.

Katanya, selama ini kampung tersebut agak terpinggir dari sudut perancangan dan tidak memiliki beberapa kemudahan yang perlu seperti sistem saliran, papan tanda, laluan jalan dan yang lain.

“Kita ada peruntukan untuk tujuan ini dan mahu melihat pembangunan di kampung ini serta akan merancang apa yang perlu supaya kampung ini menjadi lebih bagus sesuai dengan lokasinya di dalam bandar raya ini.

“Kerajaan negeri akan membangunkan kampung ini dengan lebih tersusun dengan longkang yang betul, jalan yang baik serta ia menjadi lebih bersih supaya penduduk dapat mendiaminya lebih selesa,” katanya kepada wartawan selepas lawatan itu.

Beliau berkata, beberapa lawatan akan dilakukan secara kerap oleh beberapa jabatan yang terlibat bagi mendapatkan maklumat dan mengenal pasti penduduk di kampung tersebut.

Katanya, ianya adalah penting demi keutamaan penduduk di situ selain semua mereka juga adalah pembayar cukai.

Tambahnya lagi, pihaknya berharap matlamat pembangunan di kawasan kampung itu akan tercapai bersesuaian dengan agenda Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat iaitu Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Tiada ulasan: